Thursday, December 27, 2012


DAYUNG PAK TAMBANG

Mengebor mengebar bunyi dayungnya
mengerok mengerak bunyi perahunya
(meminjam ungkapan Pak Haji Madzhi Johari)
petah menyusur Pangkalan Che’ Umar ke Pangkalan Tukang Besi
ramah menjamah Pangkalan Batu  ke Pangkalan Sapi
dari Kampung Lintang
menyusur Pangkalan Panjang
perahu meluncur sebu
mengharungi alun waktu
membawa  butir-butir permata
menuju seberang sana

Suatu ketika dulu
wajahnya pudar dan lesu
mengayuh dayung yang layu
mengais deringan sepuluh sen cuma
buat menyara seisi keluarga

Kini dayungnya penat
enjin sangkut mengambil tempat
derunya pantas
tewas arus yang deras
syiling 50 sen berdentingan
lepaslah segala tanggungan

Walaupun lingkaran jalan raya
memintas jarak dan masa
dengan dua jambatan perkasa
Pak Tambang juga pilihan utama
ada manik-manik cahaya pada wajahnya
senyum manis terukir  dibibirnya

Perahu Pak Tambang terus meluncur gagah
sinar harapan semakin cerah
bersaing terus dalam arus pemodenan
agenda perdana kalendar pelancongan
keunikan perahu tambang
memikat pelancong yang bertandang


Ilham:
Muhama Amin bin Bacho
Pangkalan Panjang, Kuching
26 Disember 2012



No comments: