Monday, June 24, 2013

ALANGKAH
Alangkah senangnya hati
sekiranya daun-daun kering ini
bertukar menjadi serumpun kepercayaan
yang boleh memantapkan lagi keyakinan
menambahkan lagi ketulusan dan keikhlasan

Alangkah riangnya hati
sekiranya titisan embun pagi
bertukar menjadi berlian
yang cahayanya berkelipan
lalu menyinari kelamnya kehidupan

Alangkah damainya hati
sekiranya carikan-carikan kertas ini
bertukar menjadi sejilid madah bicara
yang indah tutur katanya
buat santapan jiwa lara

Alangkah gembiranya hati
sekiranya butir-putir  pasir ini
bertukar menjadi segugus iman
yang boleh boleh mengukuhkan ketakwaan
menepis segala hasutan syaitan

Sesungguhnya setiap insan
mengharapkan cita dan impian
agar berjaya dalam dakapan
agar berhasil dalam genggaman
menadah doa dan harapan
takdir Ilahi yang menentukan

SMK Serian
24 Jun 2013




Friday, June 21, 2013

SEBUNYA JEREBU

Bahang api yang membakar ranting-ranting lara
asap berkepul melayang ke atmosfera yang rana
khabarnya dari seberang sana merentasi  buana
demi meneruskan kehidupan yang nestapa
atau dari kepala korporat memenuhkan poket kembungnya
kami di sini menghembus  nafas yang  lelah
dengan huyungan kaki melangkah resah
gendala segala rencana semakin gundah
merintang segala agenda semakin payah
mengikis keayuan susuk si dara  
menghakis ketampanan sasa si teruna
meluruhlah kepak  sang unggas belantara
rapuhlah tanduk sang rusa di rimba
melengkunglah sirip  ikan puyu di paya

memendekkan  jarak  pandangan mata
di kejauhan tampak samar-samar sahaja
merintih kelopak  floranya
meruntun jiwa faunanya
suatu fenomena yang  cukup melemaskan
suatu gejala yang memang disengajakan

Ini ceritera naskhah yang usang
saban tahun pasti  diulang tayang
melodinya  baru liriknya sama
lenggoknya haru  rentaknya duka

Laungan transformasi gagah bergema
adakah mereka peka?
pembakaran terbuka masih bermaharajalela
katanya berat dendanya
terlaksanakah ia?
penguasa alam sekitar turun ke lokasi
memantau dan meninjau situasi
bicara ramah penuh bersemi
kata mereka beginilah  caranya mencari sesuap nasi
dipusakai sejak zaman leluhur kami
andainya ini menjadi larangan
tuan sedia memberi bantuan?
lidah kelu tanpa jawapan


Ilham:
Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
21 Jun 2013


Wednesday, June 19, 2013

RENUNGAN
Kuberdiri di tepi jendela pada suatu malam
di luar sana suasana tampak suram
sinaran lampu kelihatan kelam
lalu kudongak ke arah langit  hitam
hanya kerdipan bintang berbalam-balam

di luar sedar  aku kini
menerawang jauh bermain ilusi
lalu kududuk berteleku menongkat dahi
aneka bayangan berkunjung silih berganti
udara  segar menyelubungi  sunyi
aroma segar wangian kasturi
debaran menguasai diri

Mengepak sayap sang helang buana
longlai menerawang angkasa raya
kena giliran malam,  katanya
saat warga dibuai lena?
misi perdana perlu dilakskana
balasnya tegas dan selamba

Sungguh berat tugas ini
Ini perintah peneraju  pertiwi
menggalas tugas menjunjung duli
perlu selesai  sebelum terbit matahari
perlu dilakri sebelum turun embun pagi
      musibah dan bencana jangan dicari
      kelak mengundang tragedi ngeri
      emosi calar sepanjang hari

Tepian pantai yang landai
pandangan mata yang damai
ombak yang ramah menghempas  santai
lembut sang bayu mengganas ribut
ganas gelora menyentap serabut
resah jiwa menjadi kalut

Ketika semua berdengkur nikmat
      ada juga yang menghimpun  laknat
      berduyun-duyun menyusur tebing durja
      melalui lorong-lorong duka nestapa
      dengan M-16 tersandang di bahu
      menjejaki teratak yang  sebu
      slogan terpapar lesu
     “sempurnakan Misi: Sulu ke  Tanduo”

      Bunyi dentuman lara
      meraung merentasi jagat raya
      barulah aku faham bicara  helang buana
      tiba-tiba aku terkesima
      terasa bahuku ditepuk manja
      mengapa abang tidur di sini?
     Ohh…dahsyatnya aku bermimpi
     sebelum tidur baca selawat dan basuh kaki
     sindiran tajam  sang isteri


        Ilham:
        Muhamad Amin
        SMK Serian
        20 Jun 2013


SELAMAT TINGGAL IRBID
Dalam resah  merangkak gusar
lalu bertatih menghambat debar
mencari butir-butir permata
buat menghias persada nyata
menyubur benih-benih dari pohon palma
menikmati kelazatan hasilnya

Merentas timur barat utara dan selatan
dataran Yarmouk jauh melatari  Amman
tamat meneroka  helaian-helaian nota
merakam tingkah dalam jendela lensa
mencoret bicara lewat diari masa
mendakap erat gulungan perdana
lalu melakar jalur-jalur nyata
buat ole-ole desa tercinta
bangganya ayah bonda

Kepada  sifu-sifu budiman
besar jasa yang dicurahkan
terima kasih mampu diucapkan
menjadi ingatan sepanjang zaman
bermula dengan dada lompang
berlutut di tanah gersang
berpaut pada palang bergalang
bertasbih memuji kebesaran-Nya
menadah tangan memohon keberkatan-Nya
menggenggam butiran-butiran mutiara
dicantum menjadi seuntai  kalung berharga

Berat  sungguh kaki melangkah
tangan dihulur bersambut madah
sejambak salam tanda berpisah
monumen sasa menghias taman
buat mengimbau kenangan
sebak meninggalkan kalian
teruskan semangat juang
gapai impian cemerlang

Kini sampailah saatnya
berpisah sementara
dengan izin-Nya
kita akan bersua semula
dalam suasana yang berbeza.

Coretan:
Muhamad Amin
SMK Serian
18 Jun 2013














Monday, June 17, 2013

AKIBAT CERDIK AKALNYA

Itulah titah perintah
siapalah berani bantah
rakyat berkubu betis
darah merah menitis
tangkas luncurnya
tajam muncungnya

Raungan hiba nan  sendu
pantai penuh damparan kaku
ini suatu musibah  malang
ini suatu petanda curang

Dalam  celaru yang rawan
seorang budak hingusan
muncul pada  saat-saat kegawatan
rakyat marhaen kelibatnya
tidak disangka cerdik akalnya
daripada batang pisang tercetuslah idea
tersusun rapi di pantai Singapura
tamat serangan malapetaka

Akibat hasad dan iri
beraja di hati
buta cemburunya
belasnya sirna
melulu tindakannya
istiadat kurnia bertukar dera
intan bersinar disangka kaca
tiada gunanya ratapan bonda
malang nasibnya
lalu dicampak di tengah segara

Idea:
Muhamad Amin bin Bacho

SMK Serian
17 Jun 2013



TAHNIAH SEMUANYA
(buat semua penerima APC 2013)

Padang yang lapang
saujana memandang
hamparan yang gersang
mendongak  bunga lalang
ditiup  pawana lalu melayang
dada yang lompang
mengatur langkah yang sumbang
memurni segala yang pincang

Suara yang ramah
nafas  yang payah
melangkah resah
menyisih gelisah
mengadun aksara
membilang angka
di pentas gelora

Menghimpun jenaka
mencantum  sendaloka
menyanyi lagu gembira
menari rentak ria
menganyam suasana ceria
menghambat lara
hidangan  jiwa derita
santapan halwa telinga

Menempel bebel celaru
mengacah rotan semambu
mengecut perut yang sebu
mengusir salah laku
menenang yang haru
merungkai yang keliru
mencerah langit biru
memutih yang kelabu

Sebagai pengiktirafan segala usahamu
kini kau berada di perdu
giat merumus segala ilmu
anugerah yang kau terima
kauharus bangga
sebagai  nilai tambah
untuk terus melangkah
menelusuri lorong payah
refleksi dan muhasabah
semoga mendapat restu Allah…

Hotel Riverside Majestic Ball Room, Aras 3, Kuching
14 Jun 2013


Thursday, June 13, 2013

PERJALANAN YANG PAYAH
Menelusuri  terowong serong
menggalas kantung kosong
melangkah lopak lompong
menapak denai  yang pesong
menuruni  gaung yang parah
mengharungi sungai gundah
merakit buluh resah
meluncur jeram payah

Sempit laluannya
cetek parasnya
deras arusnya
tajam krikilnya
suram wajahnya
sesak nafasnya
pekat kabusnya
rekah bibirnya
sebu dadanya

Menuju muara atma
kukibar layar nestapa
berkocak ganas segara
kolek  meredah setia
kemudi  meneraju sasa
semua siap siaga
akur dan pasrah
setiap olengan mengundang musibah
setiap lambungan mencetus gelabah
setiap rembesan menanti padah

Tiada keluhan
tiada rintihan
tiada tangisan
tiada raungan
tiada kekesalan
begitu payahnya  perjalanan
misi penuh cabaran
hanya itulah  pilihan
demi menggapai impian

Ilham:
Muhamad Amin
SMK Serian

12 JUN 2013

Tuesday, June 11, 2013

SIRNAKAH NILAI MURNI?

Dengan tangkasnya
tanganmu membaling krikil hiba
ke dinding jendela kaca
lalu lerai
lantas berderai

Dengan rakusnya
tanganmu meragut rantai hayatnya
terkelar leher jinjangnya
lalu berdarah
lantas bernanah

Dengan celuparnya
lidahmu meluahkan kata-kata nista
menyusup ke telinga nipisnya
lalu jadi sebak
lantas nafas sesak

Dengan biadapnya
jari-jemarimu ligat menaip di alam maya
cuba menggugat daulat baginda
lalu lesap
lantas diserkap

Dalam era globalisasi
pesatnya perkembangan ICT
hampir sirna nilai-nilai murni
hampir lenyap budi pekerti
slogan-slogan beretika
merentas jagat raya
moga kerukunan damai tanpa sengketa

Ilham:
Muhamad Amin
SMK Serian
11 Jun 2013




DI AMBANG PINTU RAMADAN

Kian hampir kaki ini melangkah
Menuju pintu indah
dengan gerbang yang ramah
menyambut kehadiran umat yang taqwa
bukan sekadar menahan lapar dahaga
mengekang segala resah sang deria
deria berbaur onak dan duri
di sana terbayang kelazatan ayam goreng Kentucky
atau nikmat aroma dalca mamak perata
dan kedinginan koktel kelapa muda
sabarlah menunggu
beduk belum dipalu
berkumandang laungan azan
menandakan  sehari kemenangan
menghadap nikmat  juadah
menghirup seteguk air selasih
tiga biji tamar berlandaskan sunnah

Ayuhlah sama-sama kita tunaikan ibadat
Solat Tarawih penyeri malam penuh berkat
disulami witir dua rakaat
kemerduan qari membaca kalimah-kalimah suci
bertadarus sebagai tanda mengabdi diri
berqiamulail lalu bersahur di subuh sunyi
rutin harian pada bulan mulia ini

Telah dibelenggu syaitan penggoda
namun, caci, nista dan maksiat masih  bermaharajalela
pahalanya Ramadhan berlipatganda
kehadiran malam istimewa
lebih mulia daripada seribu bulan
kehadirannya yang amat dinantikan
kemunculannya  sengaja disembunyikan
agar setiap umat gigih mencarinya
       amat jelas segala petanda
sepuluh malam terakhir Ramadhan memanglah nyata
usaha dan ibadat dipertingkatkan
segala urusan mohon dipermudahkan

Ilham:
Muhamad Amin
Pekarangan Masjid Jamek
Parit Kuda
Batu Pahat


31 Mei 2013

Monday, June 10, 2013

PONTIANAK, SINGKAWANG, MARET 2013

Borneo Sapphire menderu
meluncur laju
menelusuri jalan menuju Tebedu
menelusuri lagi jalan penuh liku
Pontianak kujejak kakiku

Kehangatan atmosfera
di Hotel Kini kulabuh tirai senja
lalu menikmati hidangan nasi padang
penuh meja saujana mata memandang
jamah saja seadanya
cukup sekadar sekali sendawa
kelak di kasir dikira semuanya

Usikan teman-teman
ibu-ibu dan bapak-bapak kalian
semuanya jadi jutawan
jenuh jariku membilang not-not rupiah
angka-angka jutaan menempa resah

Universitas Tanjung Pura
Tugu Khatulistiwa
Muzium Kalbar
Menjengah Mega Mall
Grand Livina 30 juta Rupiah
Ringgit Malaysia sekadar 10 ribu

Ke Wahana Inn, Singkawang melengkapkan agenda
sempat kuhirup semangkuk mi bakso
segelas es jeruk membasahkan tekak
ke rumah tas tumpuan para suri

Bon Voyage hari kelima cukuplah sudah
begitu pantas kakiku melangkah
lalu kutinggalkan kota yang ramah
Borneo Sapphire memuntahkan kepulan asap kelabu
lenguh kakiku penuh kematu
syukur ke hadhrat yang Maha Esa
selamat  kembali semula
ke tanah airku tercinta

Ilham:
Muhamad Amin
Pontianak dan Singkawang, kalimantan
24-25 Maret 2013


Sunday, June 9, 2013

LAIN KALI SAJALAH

Kau ajak aku ke sana
tapi di sana lorongnya duka
terowongnya renta
lopak sini lopak sana
penuh kerikil bisa
berliku jalannya
tersasar tentu merana

Kau ajak aku tukar arah
tapi ombaknya resah
alunnya gundah
airnya merah
kemudinya patah
bahteranya lelah
Ribut  melanda tentu parah

Kau ajak aku ke destinasi itu
tapi, di situ tamannya kelabu
lamannya sendu
udaranya sebu
rumputnya layu
tersalah pijak tentu kaki kematu

Terima kasih ucapanku
Atas ajakanmu
Lain kali sajalah
Mohon hidayah  daripada Allah

SMK Serian
9 Jun 2013


SEBUAH CORETAN

Ini lubuk rezekiku
apabila ranum kutuai ke dalam saku
dari keringat payahku
dari serak suaraku
berbekalkan lembaran-lembaran ilmu
melakar khazanah  di papan putih
menggaris  biasan pelangi
di helaian kertas mahjong
dengan  bantuan pancaran maya

Diselangi leteran-leteran luka tapi manja
disulami madah kecindan yang mesra
anak-anak  didikku  gigih mencoret  gedung aksara
dan,  mereka  giat merakam  hamparan data
apa yang kuluahkan dihimpun ke dalam nota
disimpul, dirumus dan dilakri dalam peta minda
nanti ke medan perang dibekal sebagai senjata

Berkat titik peluhku ini
kantungku tetap berisi
kumampu menyudu  semangkuk mi soto
kumampu menghirup  secawan teh -O
kumampu menghimpun kembara pelbagai destinasi
anak-anakku mampu belajar jauh di luar negeri

Kuucap syukur ke hadhirat Ilahi
berkat limpah rezeki ini
walaupun tidak semewah mana
mampu meneruskan hidup di alam fana
hidupku tidak merempat
InsyaAllah kutunaikan zakat
yang malang juga merasa nikmat.

Kpg Parit Sempadan
30 Mei 2013



KUASA SANG JUARA
Setelah sekian lama menjadi teka-teki
Sampai masanya tampuk kuasa dibubar
Demi mendapat mandat baru

Lima belas hari turun gelanggang
bukan sekadar sepanduk dan poster
kata-kata perangsang penambah keyakinan
asalnya manifesto bertukar menjadi akujanji
demi memantapkan gema  agenda tersurat

Tohmahan-tohman berbisa perlu ditangkis
menagih perjalanan yang bersih
bersih daripada segala kecurangan
kecurangan yang semakin bermaharajalela
menagih kendalian yang adil
adil dan jujur
jujur dan ikhlas
namun, setiap arena masih penuh dengan prasangka
kebijaksanaan  perlu menanganinya.

Gelanggang sudah dibuka
tanda pangkah penentu segalanya
para petugas penuh berhemah
demi menjamin kewibawaan
namun pelbagai  dakwaan
Kononnya ribuan pendatang asing memenuhi gelanggang
peti-peti ajaib
kononnya turun dari langit
kala malam tiba-tiba gelap pekat
waalahu’alam, kesahihan dakwaan
masih jadi tanda tanya
terlalu ramai yang cerdik ICT
ilmu dalam alam maya boleh dimanipulsi

Konon beritanya
keputusan yang sahih akan diwartakan
yang mahu menegak kebenaran
bawalah ke pintu pengadilan

Sekalung tahniah kepada sang juara
mandat lima tahun lagi
akujanji perlu menjadi realiti
sebaliknya yang kurang bernasib baik
bawalah ke meja rundingan
usah menuding jari salahkan lawan
muhasabah diri kaji punca kegagalan
dengan izin Yang Maha Esa
kemenangan berpihak kepada kebenaran
kemenangan pasti dalam genggaman.

Muhd Amin
SMK Serian.
Serian
6 Mei 2013