Sunday, October 27, 2013

KECINDAN

KECINDAN

Kecindan yang lucu
penghibur  duka di kalbu
penglipur jiwa yang celaru
mengusik  nurani  yang sendu

Kecindan yang ria
pencetus senyum dan tawa
perangsang minda ceria
pengubat  hati yang lara

Kecindan yang berlapis
dibina ayat yang puitis
maksudnya sukar dianalisi
menjana pemikiran kritis

Kecindan yang hambar
seleranya yang tawar
maksud yang samar
pengertiannya sukar

Yang dinamakan kecindan
lawaknya menghiburkan
ada unsur pengajaran
sebagai panduan dan pedoman


SMK Serian
26 Oktober 2013



Saturday, October 26, 2013

MANISNYA SIFAT TAWAKKAL

MANISNYA SIFAT TAWAKKAL

Ketika keluar rumah
diiringi lafaz  zikrullah
“Dengan nama Allah
aku berserah diri kepada-Nya
dan  tidak ada daya dan kekuatan
kecuali dengan pertolongan-Nya”

Tawakal ialah berserah diri
pengertian daripada Imam Al-Ghazali
menyandarkan diri
kepada Ilahi
tatkala menghadapi suatu kepentingan
tatkala menghadapi saat kesukaran
tatkala saat ditimpa bencana
teguh hatinya
tenang jiwanya
tenteram mindanya

Tawakkkal ialah suatu sikap spiritual insan
merupakan suatu keyakinan
keyakinan sepenuhnya
kepada yang Maha Esa
yang mencipta segalanya
menguasai dan mengatur alam semesta
lalu kita menyerah seegalanya
menimbulkan ketenangan
menimbulkan ketenteraman
menimbulkan kelegaan
menimbulkan keselesaan
tiada rasa curiga
tiada rasa prasangka
kerana Dia maha bijaksana

Malaikat akan berkata kepada umat manusia:
“sesungguhnya kamu telah diberi petunjuk (oleh Allah Ta’ala)
dicukupkan dalam segala keperluan
dijaga daripada segala keburukan
sehingga para syaitanpun tidak upaya mendekatinya
dalam kalangan para syaitanpun berkata kepada para temannya
bagaimana (mungkin) kamu
dapat (mencelakakan) seseorang yang telah diberi petunjuk
dicukupkan dan dijaga (oleh Allah Ta’ala)?”

Itulah nikmatnya kita rasai
kita bertawakkal atau berserah diri
bukanlah berserah diri kepada sesama insan
bebas dari gangguan syaitan laknatullah
telah diberi perlindungan oleh Yang Maha Esa

Kita letakkan sandaran
sematkan kepercayaan
seluruh jiwa dan raga
meyakini seseorang berlandaskan empat sifat utama:

Muntahal-Hidayah (kepercayaannya dan diyakini kebenaran),
Muntahal-Quwwah (paling kuat atau mempunyai kemampuan),
Muntahal-Fashahah (paling lancar dan cukup berpengetahuan),
Muntahas-Syafaqah (diyakini paling perihatin dan kasih sayang).

Namun, tiada insan yang mampu memiliki kesemuanya
kerana ia hanyalah milik mutlak Yang Maha Esa
hanya tawakkal semata-mata
tanpa berusaha
hanya umpama
mengharap hujan turun ke bumi
yang mungkin hanya mendung berarak pergi
mimpi indah pada siang hari

Cerita seorang sahabat
meninggalkan untanya tanpa ditambat
lalu Rasulullah menanya
mengapa demikian lakunya?
penjelasan daripadanya
dia telah bertawakkal sepenuh hatinya
Rasulullah memberi saranan
ikatlah dan bertawakkal kemudian

Ada kalanya tawakkal dan usaha kita
diiringi munajat dan doa
tanpa hasil yang diharapkan
tanpa buah kejayaan
eloklah cermin diri
muhasabah diri
cukupkah sudah ibadah kita?
cukupkah sudah kekuatan iman kita?
ikhtiar sedaya upaya
hadapilah dengan redha
tidak mudah berputus asa
Insya-Allah akan dimakbulkan juga akhirnya.

Muhamad Amin
SMK Serian
26 Oktober 2013



Thursday, October 24, 2013

SYUKUR, SABAR DAN ISTIGHFAR

SYUKUR, SABAR DAN ISTIGHFAR

Ucapkanlah “Alhamdulillah”
yang menunjukkan kesyukuran kita
kerana mendapat limpahan nikmat
kurniaan daripada Yang Maha Esa
tiga rukun syukur
mengakui bahawa kenikmatan itu datangnya daripada Allah
mengakuinya secara lisan
dan, menggunakan kenikmataan itu
untuk mendapat keredhaan Allah
Allah menguji hamba-Nya
ujian ditempuh dengan kesabaran
sabar itu merupakan
separuh daripada iman
satu sifat mahmudah
wajib dimiliki oleh setiap umat  Rasulullah
menahan diri daripada perasaan amarah,
menahan diri daripada segala keluhan
menahan diri daripada kemaksiatan
seungguhnya, ujian Allah itu
bukan bermaksud membinasakan hambanya
sebaliknya menguji sejauhmana pengabdian kita terhadap-Nya
merobek, menampar, membaling sekadar menyebut contoh
adalah lambang keangkuhan
tanda kurangnya keimanan
semasa kelapangan mahupun kesempitan
ibadat tetap ditunai
sesungguhnya, usaha syaitan laknatullah
untuk menyesatkan manusia
berlaku setiap detik dan ketika
tidak mengira sesiapa sahaja
hanya menunggu saat kita alpa
beristighfarlah
bertaubatlah dengan lafaz
“Astaghfirullahalazim”
memohon keampunan daripada-Nya
ketika kita
dalam kekhilafan
dalam kecurangan
dalam kealpaan
melakukan dosa-dosa yang keji
menganiaya diri sendiri
sesungguhnya Dia
maha menerima taubat
maha pengampun
maha penyayang
maha mengasihani
maha pemurah
sesungguhnya matlamat sebuah kehidupan
menuju ke arah   kesempurnaan
mendapat berkat, iradat dan syafaat
sejahtera dunia dan akhirat

SMK Serian
24 Oktober 2013


MENGAPA HARUS BERSEDIH

MENGAPA KITA HARUS BERDUKA CITA?

Sedih itu dukacita
sifat semula jadi manusia
suatu sunnatullah dalam kehidupan seharian kita
mustahil ada manusia yang tidak pernah mengalaminya
mengatasi kesedihan supaya tidak menjadi bebanan
jadikan  kesedihan untuk menambah ketakwaan
ia tidak akan menjadikan kita hilang pertimbangan
tidak membelenggu perasaan
perasaan sedih tidak akan membawa kepada  kehancuran
cerita tentang seorang sahabat Rasulullah
sedihnya amat terserlah
Rasulullah bertanya kisah
mengapa bersedih teramat sangat
lalu katanya beban kehidupan yang amat dahsyat
dirinya dibelenggu hutang yang amat berat
lalu Rasulullah mengajar satu doa untuk diamalkan
doa yang boleh meringankan segala beban dan permasalahan
“Ya Allah ya Tuhanku…
aku berlindung dari-Mu
daripada segala kesedihan
daripada segala sifat lemah
daripada segala beban hutang yang banyak
daripada tekanan perasaan
daripada segala penyakit
daripada keresahan
daripada kegelisahan…”
keresahan dialami
sesuatu yang belum terjadi
resah menunggu keputusan peperiksaan
tak nyenyak tidur tak kenyang makan
ketakutan timbul  dalam nubari
sesuatu yang telah terjadi
takut musnah segala  yang dimiliki
takut hilang  sesuatu yang disayangi
takut pada bayang-bayang sendiri
kita hadapi kesulitan  dengan penuh ketabahan
kita hadapi segala kesedihan dengan penuh kecekalan
kita hadapi segala keresahan dengan penuh kepasrahan
kita hadapi segala dugaan  dengan penuh kesabaran
segala keburukan atau kebaikan
adalah ujian daripada Yang Maha Esa
menguji kesabaran hamba-Nya
kadak dan qadar  sebahagian rukun iman
bermunajat berdoa penuh harapan
disulami usaha penuh kegigihan
datang melimpah rahmat kebahagiaan
itulah kurnia yang Maha Esa
nikmat dirasa sepanjang masa

SMK Serian
12 Zulhijah 1434 H





SAAT KITA DALAM KEGEMBIRAAN

SAAT KITA DALAM KEGEMBIRAAN

Busyra atau rasa gembira
bermula dari keluhuran jiwa
adalah bersifat maknawi
yang juga bersifat rohani
lahir  secara semula jadi
datang dari jiwa yang murni
apabila kita berhadapan
saat yang menyenangkan
ia tiba tanpa paksaan
mekar hati dengan semburan  wangian
serinya bak sekuntum bunga di taman
apabila diselubungi saat kedukaan
dipaksa dengan wajah kegembiraan
tampaklah ia  seperti  jeruk asinan
tanpa iman di dada
unsur  takwa belum melata di jiwa
kegembiraan disambut  dengan lonjakan
gemuruh suara sorakan
tepukan yang membingitkan
bagi golongan hartawan
tentunya berlibur  dalam majlis kenamaan
dengan sajian   penuh kemewahan
disinari kerlipan  lampu gemerlapan
dengan hawa yang cukup mendinginkan
dengan tegukan yang memabukkan
saat duka dihadapi dengan kemurungan
kekesalan dan kemuraman
dengan tangisan dan raungan
dengan omelan dan kutukan
jodoh dan takdir dikesampingkan
namun insan  yang penuh keimanan
jiwanya penuh ketakwaan
ia berjaya mengawal nafsu dan perasaan
tanpa mengira suasana
tampak ketenangan di jiwanya
kegembiraan diterima dengan kesyukuran
saat duka diterima dengan kesabaran
segala kejadian yang dihadapi
adalah ketentuan Ilahi

SMK Serian
23 Oktober 2013