Friday, November 30, 2012



DISEMBER MUNCUL LAGI

Menculmu menutup tirai  waktu
mendendang irama syahdu
ketika  sang unggas memagut nikmat hidangan
sang anak  menunggu kebimbangan

Munculmu menutup diari biru
di dalamnya terpapar catatan ungu
tatkala  lembayung  kelam
melakar lukisan malam

Munculmu ketika langit kelabu
mengarak awan celaru
di kala arus mengalir deras
membawa cerita cemas

Munculmu mengimbas jendela kenangan
Januari menyulam hamparan harapan
dengan agenda harum mewangi
akan dirakam dalam lensa hati

Ilham: Muhamad Amin
SMK Serian
1 Disember 2012



SUATU PERLAWANAN  YANG RESAH
Sebelum pengdill meniup wisel mula
formula juara dirumus jurulatihnya
harapan pengurus misinya teraksana
pemain yakin boleh tunjuk kehebatannya
pemain simpanan gigih mengutip stamina
penyokong tenteram di tepi arena

Wisel sepak mula  ditiup sudah
pemain menggelecek lincah
jurulatih mula  gundah
tiada sorakan penyokong gelisah

pemain pendatang punya asakan
benteng kukuh pertahanan
penjaga gol penuh tumpuan
alpa yang culas
gol yang lemas

Hadiah kad merah tonggak harapan
konon mengasari pemain lawan
pincanglah sudah
penyokong semakin resah

Dentuman protes bergema
asap pekat  melatari angkasa
stadium gamat seketika

FRU campur tangan
Kata putus peneraju atasan
perlawanan semula di gelanggang berkecuali
angkara ganas siapa yang rugi?

Nukilan: Muhamad Amin
SMK Serian
30 November 2012


Wednesday, November 28, 2012


DIALOG SETINGGAN

Berperi sang  isteri penuh sendu
lelah dengkurmu sesak nafamu
udara sebu biarku lap peluhmu
dengan tuala bacinmu

Antara pejam dan celik matanya
sang suami bertanya manja
masih jaga kenapa ditahan matanya?
nanti ketinggalan subuhnya

Tunggu sekejap  lagi
resah anak kita bergolek kanan dan kiri
susunya  habis sebentar tadi
hutang lama masih berbaki

Susu cap junjung kan masih ada?
bancuhlah dulu buat sementara
sarapan kita roti keringpun tak apa
esok jumpa tauke Baba

Abang, nasib kita sampai bila akhirnya?
sabarlah,  pintu usaha masih terbuka
       kita cubalah nasib di sana
Insyaallah, selagi kudrat masih ada
derita kita hanya sementara

ilham:
Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
29 November 2012




Tuesday, November 27, 2012


MAHKOTA BERDURI

Tanpa singgahsana
semayamnya bukan di istana
durinya adalah mahkota
dusunnya adalah takhta
hanya kerana paras rupanya
lalu dinobat  sebagai raja
segala buah akur padanya

Bermusim hadirnya
sentiasa ditunggu kelibatnya
gigih  pakar di makmal R & D
giat membuat ujikaji
kini aromanya tetap mewangi
sepanjang tahun tetap bersemi

Para usahawan tidak menyepi
giat menangguk rezeki
supaya  cepat kantung diisi
galak memintal helah
timbunan-timbunan  yang ramah
terselit duri-duri gelisah
ada biji-biji yang resah

Nukilan:
Muhamad Amin
27 November 2012



Sunday, November 25, 2012





SELAMAT DATANG 2013

Layar 2012 mohon dilabuhkan
menatap    detik-detik  kenangan
melalui   lurah-lurah   sengsara
menapak lembah petaka
tertusuk kerikil luka.

Menghayati  merdunya kicauan unggas rimba
menikmati heningnya puputan bayu senja
lunaskah segala agenda?
terlaksanakah segala rencana?
terpadamkah sekam yang membara?

Transformasi keberhasilan utama
misi menjulang negara di mata dunia
BR1M dihulur ekonomi terus dijana
laungan sumbang galak bergema
menabur fitnah merata-rata
usah diterima bantuan
itu hanya suatu umpan.

2013 dalam paparan
berbalam-balam dalam bayangan
minda positif jiwa wawasan
semoga terlaksana impian
impian jadi kenyataan.


Nukilan:
Muhamad Amin
SMK Serian
25 November 2012

Saturday, November 24, 2012


MENGHAYATI FADHILAT RAMADAN

Bersahur tanda pembuka tirai  perjuangan
iftaar tanda syukur atas kemenangan
bazar Ramadan aneka rasa
bubur lambuk bubur pedas pembuka selera
umai dan ayam percik hidangan istimewa
tanda makmurnya negara kita

Sunat terawih, witir,  bertasbih bertahmid
 tadarus Al-Quran bergema di setiap surau dan masjid
Nuzul Quran tanda  turunnya kalimah  tauhid
zakat fitrah sedekah jariah misi setiap muslimin
murninya ibadah tanda ingatan setiap fakir miskin
penjana modal insan cemerlang
pemangkin ummah gemilang
malam Lailatul Qadar yang Allah janjikan
dinanti setiap muslim penuh ketakwaan
nilai amalan lebih baik daripada seribu bulan

Sedutan  lapuk harus dihentikan
permulaan nafas baru menyegarkan
mewangi bagai  haruman kasturi
segala penyakit kronik dihindari
hidup sihat bertambah seri

Pilu dan haru
jasad parah terlantar lesu
paparan media di sana sini
putus jari kudung kaki
padah buatan sendiri
yang merana salahkan  diri?


Pada Ramadan Al-Mubarak ini
fadhilat tersirat harus dihayati
hindari segala kemungkaran
agar kehadiran lebaran
disambut penuh  keriangan
kesyukuran dan keinsafan

oleh: Muhamad Amin bin Bacho
          SMK Serian
23 September 2007







TERUNGKAINYA SUATU RAHSIA
(Al-Fatihah buat Allahyarham anakanda Nurin,
Takziah setulus hati buat keluarga Allahyarham)

20 Ogos membuka tirai  kekejaman malam  menyayat hati
haru dan pilu menyelubungi setiap penghuni warga sejati
tawaran ganjaran lumayan
namun itu bukanlah sasaran warga budiman
juga bukanlah habuan yang jadi rebutan
nyawa si anak malang yang harus diutamakan

17 September menjawab  segala misteri
meluas paparan media berita sensasi
di dalam sebuah beg pakaian  tersembunyi
sekujur tubuh pucat lesi  nafas tiada lagi
bersaksikan paparan CCTV yang sukar dianalisa
ketepatan ujian DNA merungkai segalanya

Siapalah gerangannya?
angkara dalang durjana
iblis yang bertopengkan manusia
kebuasannya bagai haiwan celaka
jangan biarkan ia terus bermaharajalela
muka pengadilan pemutus segala bicara

Biarlah tragedi ngeri  menyayat hati ini
menjadi iktibar setiap penghuni warga sejati
kealpaan ibu bapa juga penyumbang  bencana
setelah 50 tahun negara  merdeka
kelicikan modus operandi jenayah semakin berleluasa
berhati-hatilah  sebelum musibah  menimpa

Nukilan:

Muhamad Amin bin Bacho

Sekolah Menengah Kebangsaan Serian.
September 2007

Friday, November 23, 2012



TANGISAN INI

Siapa pernah alami?
tangisan yang dahsyat ini
amat menyentuh  sanubari
dari bayi yang kurang kudratnya
hingga warga marhaen yang lanjut usianya

Akibat muntahan peluru-peluru durjana
rakus menorobos ratusan jiwa lara
ratapan syahdu sirna suaranya
di medan sana gugur para syuhada
sebak dada setiap mata memanangnya
namun terserlah senyuman manis  di wajahnya

tangisan  di sana
adalah  manifestasi duka
suatu jeritan seksa penuh derita
sememangnya tiada tolok bandingnya
dengan sendu di depan layar maya
sungguh berat dipandang mata
bahu memikul lebih peritnya

Alangkah gembira  rasanya
andai dapat melihat si laknat celaka
tersungkur dan  tewas di depan mata
kami mohon kurnia-Mu Yang Maha Esa
musnahkanlah  mereka
bersama sekutunya.

Nukilan:
Muhamad Amin
SMK Serian
23 November 2012







INI BERITA GEMBIRA
Ini berita gembira
       buat seluruh  warga Gaza
setelah sekian  lama
nafas sesak yang lelah
denyut nadi yang resah
degup jantung yang gundah

Ini berita gembira
buat seluruh warga Gaza
segalanya hampir reda
langit kelam mula membiru
angin kencang berpuput bayu
merah banjir mengalir ungu

berita gembira ini
Warga Gaza bersorak dan menari
setelah konflik lapan hari
gencatan senjata telah dimeterai
regim Zionis  kini akurlah
usah bermadah penuh berhelah
masih membahang api sengketa
sedikit tersentuh mengundang bencana

Berita gembira buat warga Gaza
Bukan sekadar berarak berpesta
bermuhasabah diri dan tafakur
Iringan doa tanda bersyukur
Saudara-saudara yang gugur
Sesungguhnya kalian syahid
Kami lafazkan  kalimah Tauhid

Ya  Rahman ya Rahim
Selamatkanlah kami dan bumi Palestin!


Ilham:
Muhamad Amin
23 November 2012





Wednesday, November 21, 2012


GAZA: KAU AKAN SELAMAT JUA
Api dendammu kian  membara
tanpa belas  kauterus mara
serakahnya peluru-peluru berpandu
angkuh menembusi dada-dada syahdu
kerakusan  dan keegoanmu
telah meragut ratusan nyawa
ribuan lagi lemas tak bermaya

Regim Zionis yang celaka
kami tak akan berdiam sahaja
usah  fikir  kauboleh terus bermaharalela
kami akan teus bermunajat
bersendikan doa dan solat hajat
apa sahaja jenama yang kaubanggakan
semuanya akan kami  pinggirkan

Warga Gaza
dengan semangat waja
dengan penuh redha dan taqwa
tegak berdiri bersamamu
kami akan membidik senjata-senjata  restu
Walaupun keringat  pilu
gagah kami bersatu
demi kesinambungan leluhur
yang telah lama tersungkur tanpa kubur

Bersama kesucian dan keikhlasan hati
kusajikan sejambak doa dan simpati
semoga mendapat restu Ilahi

Cetusan rasa:
Muhamad Amin
SMK Serian
23 November 2012





GAZA: HANYA DOA DAN SIMPATI KAMI PANJATKAN
Hasutan Syaitan durjana
Habil mangsa  pertama
Diikuti tragedi Karbala
Bermaharalela pula di Gaza

Tanpa  tanda  noktah
Lembap bumimu  merekah
Tompok-tompok awan kelam nan resah
Titisan hujan merah
Angin kencang bertiup gundah
Sungai dan samudera  berombak  penuh  bernanah

Wahai puak-puak  laknatullah!
Kauberpaksikan nafsu serakah!
Belum langsai lagikah?
Kaunyahkan perikemanusiaan
Ratusan  jiwa  menjadi  korban
Inikah hakikat  perjuangan?

PBB pengantara agenda
Kami alu-alukan segera
Misi gencatan senjata
Padamkan api prasangka
Uraikan   benang yang berselirat
Pulihkan keresahan sejagat

Para syuhadah  rahmatullah
Gugurmu  suatu  hikmah
Makammu  dihias indah
Abadilah  di daruljannah

Warga Gaza sekalian
Redakanlah raungan dan tangisan
Doa dan simpati  ikhlas kami panjatkan
Tabah menempuh  musibah
Semoga mendapat  lindungan  Allah…..

SMK Serian
22 November 2012