Saturday, March 29, 2014

KOLEKSI UNGKAPAN BERIRAMA

KOLEKSI UNGKAPAN  BERIRAMA

Malam-malam  mengepak sayap
Misteri hilangmu belum terjawab

Setinggi-tinggi  terbangnya bangau
Tinggi lagi terbangnya dikau

Sedalam-dalam Lautan Hindi
Dalam lagi harapan kami

Kalau di laut dalam tempat hilangmu
Akan diselam hingga bertemu

Kalau di darat engkau berada
Akan diredah hutan dan  rimba

Kalau menerawang di langit tinggi
Ke angkasa lepas terus mencari

Muncullah dikau si buah hati
Seribu tahun kutetap menanti

Bagai pungguk merindu bulan
Tetap kutunggu sepanjang zaman

Berita banyak jadi sensasi
Semakin  bertambah sakitnya hati

Banyak kali amaran diberi
Mereka tetap buat spekulasi

Pencarian demi pencarian
Usaha perlu diteruskan

Sungguh pedih hati nan luka
Rasa sedih dikongsi bersama

Kering sudah si air mata
Menadah tangan memohon doa

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
29 Mac 2014







Thursday, March 27, 2014

PANTUN PERTANYAAN

PANTUN PERTANYAAN

Tenang-tenang air di kolam
Ke mana perigi tempat bermandi?
Terbang-terbang di tengah malam
Ke mana pergi menghilang diri?

Jatuh terbakar dahan kasturi
Adakah tercemar alam semesta?
Jauh tersasar di Lautan Hindi
Adakah benar bagai dikata?

Gula apung gula melaka
Adakah nira  perlu disimpan?
Objek terapung dicerap angkasa
Adakah usaha perlu berterusan?

Belum ada bahtera  berlabuh
Tengah malam angin berhenti?
Belum ada bicara  yang kukuh
Kotak hitam menjadi saksi?

 Rasa berdebar  membuka pintu
Adakah perlu melayan karenah?
Agenda bertukar sudahlah tentu
Adakah perlu  bertukar wajah?

Ke mana perahu harus disembunyi?
Bawah jambatan perlu ditambat
Ke mana hala tuju selepas ini?
Keselamatan perlu  dpertingkat


Muhamad Amin binBacho
SMK Serian
27 Mac 2014




Wednesday, March 26, 2014

BERMUHASABAH DIRI

BERMUHASABAH DIRI

Sudah tercatat dalam  Luh Mahfuz
kita harus akur
qada dan qadar adalah ketentuan-Nya
leraikan ratap tangis
hadapi dengan tabah dan tenang
ada hikmah di sebalik tragedi ini
sebagai panduan mengharungi hidup
pada masa hadapan
marilah berhusabah diri
setulus doa
sejambak takziah
buat keluarga kru dan penumpang
yang malang

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
26 Mac 2014



Tuesday, March 25, 2014

PANTUN MH370

PANTUN MH370

Balik kampung menanam padi
Padi paya di tanah rata
Objek terapung di Lautan Hindi
Itulah dia petunjuk nyata

Santan pekat jangan diperah
Nasi pulut dibuat tapai
Rumusan Inmarsat menambah cerah
Misteri kusut hampir terungkai

Berjalan kaki membawa  kitab
Naskhah kamus lupa dipesan
Teka-teki hampir terjawab
Tumpuan khusus usaha mengesan

Padi bukit bawa ke bendang
Berat sekati jadi  sepikul
Amat sakit mata memandang
Sakit lagi  bahu memikul

Perahu sarat  muatan kasturi
Bawa ke muara jalan sehala
Syahid akhirat fatwa diberi
Semoga sejahtera di alam sana

Di dalam peti menyimpan  warkah
Dari Sabah di bawa ke Labuan
Salam simpati  ucapan takziah
Semoga tabah  hadapi ujian

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
26 Mac 2014


HILANGNYA MH370

HILANGNYA MH370

Rumusan Inmarsat
penerbangan tamat
bukan mendarat
operasi diteruskan
mencari dan mengesan
di suatu lokasi
jauh dan sunyi
selatan Lautan Hindi
kru dan penumpang
masih berstatus hilang
sehingga kotak hitam dijumpai
barulah terungkai segala misteri

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian

25 Mac 2014

Monday, March 24, 2014

BALASUNGKAWA MH370

BALASUNGKAWA MH370

Tergempar wadah sanjungan
terungkailah satu penantian
bernoktahlah suatu harapan
diterima penuh keredaan

Tersasar daripada kebiasaan  laluan
menerjah kesunyian Lautan Hindi Selatan
memencilkan diri di sana
kuasa apakah gerangannya?

Menjunam debar dan resah
basah air mata pasrah
usapan dan belaian mesra
khidmatmu amat berharga

Kuatkanlah semangat
ini dugaan yang amat hebat
redalah akan ketentuan-Nya
setiap kejadian ada hikmahnya

Kepada kru dan penumpang semua
semoga roh kalian sejahtera di sana
dalam kalangan orang-orang bertakwa
kami ucapkan balasungkawa


Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
25 Mac 2014


Sunday, March 23, 2014

SETULUS DOA MENGIRINGI KEHILANGANMU

SETULUS DOA MENGIRINGI KEHILANGANMU

Ke manakah dikau pergi?
kami  semua resah menanti
puas sudah kami mencari
namun, lokasimu  sukar dijejaki

Ya Allah,  berikanlah  petunjuk-Mu terhadap pencarian ini
hanya Engkaulah tempat kami menaruh simpati
hanya Engkaulah yang Maha mengetahui
tentang kehilangan penuh misteri ini

Ya Allah, mohon dipermudahkan
segala usaha yang dilakukan
berikanlah panduan jalan
ringankanlah bebanan

Ya Allah, berilah mereka hati yang lapang
agar semua keluarga penumpang
kurang rasa gundah dan walang
hilang rasa cemas dan bimbang

Ya Allah,  wujudkanlah semula yang tiada
untuk mengubat hati yang luka
berilah mereka semangat waja
untuk mencari sinar cahaya

Ya Allah, kepada-Mu kami berserah
dengan tangan ditadah
dengan penuh pasrah
agar terlerai segala masalah

Ya Allah, semoga doa kami dimakbulkan
dengan-Mu kami memohon  perlindungan
jauhilah kami daripada segala  bencana  dan kejahatan
selawat dan salam ke atas nabi dan  sahabat sekalian

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
24 Mac 2014


Saturday, March 22, 2014

SYAIR HIKAYAT SI BAYAN BESI

SYAIR HIKAYAT SI BAYAN BESI

Ini cerita si burung bayan
Jauh berbeza bayan budiman
Keluli logam  menyalut badan
Terbangnya tinggi mencapai awan

Bayan budiman pandai berkata
Bawa utusan dari istana
Si bayan besi canggih buatannya
Membawa penumpang merentas benua

Suatu malam di sebuah kota
Terbanglah ia seperti biasa
Membawa haluan ke negara China
Laluan biasa sekian lamanya

Meluncur laju satu jam kemudian
Gagal dikesan menara kawalan
Pelbagai pihak membuat ramalan
Terhempas atau berlaku rampasan

Operasi mengesan  dilancar  segera
Dua koridor dalam rencana
Berbagai aset  dikerah bersama
usaha gigih  tak putus asa

Kehilangannya suatu misteri
Janganlah jemu terus mencari
Semua pihak beri simpati
semoga dapat restu Ilahi


Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
22 Mac 2014











Friday, March 21, 2014

AIR MATA SUDAH KERING

AIR MATA SUDAH KERING

Agenda  pencarian  tetap diteruskan
tumpuan khusus koridor selatan
lautan luas gigih diredah
aset berkepakaran khusus dikerah
dengan harapan misi jadi kenyataan
untuk menangkis segala tohmahan

Namun, belum ada petanda yang nyata
di mana pesawat itu kini berada
di mana keluarga  tersayang  mereka berada
radar Australia memberi petunjuk terkini
tetapi, belum ada jawapan yang pasti
ini menambah kerisauan di hati

Ratapan sendu  terus bergema
kering sudah air matanya
dioleng ombak lautan hiba
waris penumpang dibelai  mesra
ditatang penuh kasih dan manja
menghapus cengkaman trauma

Laungan suara keramat menyentuh rasa
sayup berkumandang di ruang angkasa
solat hajat ditunai segenap luang
memenuhi segenap ruang yang lapang
sama-samalah kita menadah tangan
semoga mereka diberi perlindungan

Terima kasih atas segala simpati kalian
kami amat menghargai  segala bantuan
inilah semangat setiakawan
menjadi impian setiap umat
demi menjalin persefahaman sejagat

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
22 Mac 2014


Thursday, March 20, 2014

CATATAN SEJARAH HITAM

CATATAN SEJARAH HITAM
       
Ini titik hitam dalam sejarah penerbangan negara
jadi tumpuan  antarabagsa
menjadi suatu misteri
timbul suatu teka-teki
saat mendebarkan
detik meresahkan
satu anomali daripada kebiasaan
tangisan tanpa suara
ketandusan air mata
gempar seluruh warga dunia
kaji segala petanda
timbul pelbagai teori
aneka hipotesis diamati
radar dan satelit diteliti
belum ada jawapan pasti
sidang media saban hari
suatu penemun baru
pesawat diubah  haluan
hilang komkunikasi
satu harapan baru
satu kemungkinan baru
keganasan?
rampasan?
terhempas?
hilang pertimbangan?
jaminan kerajaan
akan terus memperluaskan
usaha mencari dan menyelamat
kerjasama antarabangsa
menanti  petunjuk baru
tanpa mengira batas sempadan
tanpa mengira bangsa dan agama
doa kalian  tanpa batasan
hanya Allah maha mengetahui
segala episod akan dipahat
pada tugu rekah  negara
akan dipamer
di galeri kelam negara
anak cucu kita kelak
akan membuat kajian
disertasi kedoktoran  mereka

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
20 Mac 2014


SELOKA RAJA BOMOH SEDUNIA) (SEBUAH “SKETSA” DI KLIA)

SELOKA RAJA BOMOH SEDUNIA)
(SEBUAH “SKETSA” DI KLIA)

Aduhai Sang Raja Bomoh
Orang berduka awak bersenda
Orang berdoa awak kerasukan
Orang mencebik awak tersengih
Awak berlakon cerita P. Ramlee
Awak ingat orang percaya
Awak muncul di berbagai tempat
Cuba selesaikan tragedi Hingland Tower
Menyekat ilmu hitam Mona Fendy
Awak cuba menilik nasib
Termasuk mereka dalam  PRU 13
Awak  datang tanpa diundang
Awak kata dijemput oleh orang tertinggi kerajaan
Kami ingin tahu siapakah mereka?
Kami mahu bukti
Kami mahu namanya
Awak bertindak ikut nafsu
Mengikut telunjuk syaitan laknatullah
Kami tidak percaya akan awak
Awak  banyak menipu
Kami tidak mahu kufur
JAKIM telah memberi fatwa
Bahawa perbuatan awak haram
Awak tinggalkanlah tempat ini
Sebelum pegawai agama datang menyerbu
Bertaubatlah wahai Raja Bomoh
Tinggalkan kerja terkutuk itu
Amalan kita berlandaskan kitabullah
Berpandukan sunnah Rasululllah
Nescaya awak selamat dunia akhirat

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
20 Mac 2014


Wednesday, March 19, 2014

SYAIR HIKAYAT PESAWAT PERKASA

SYAIR HIKAYAT PESAWAT PERKASA

Inilah hikayat pesawat perkasa
Sebelas tahun sudah usianya
Puas merantau segenap buana
Besar jasanya pada negara

Malam yang dingin terbanglah ia
Destinasinya ke negara  China
Menara kawalan gempar semua
Disahkan hilang entah ke mana  

Misi bantuan dan penyelamat
Semua dikerah segera menyiasat
Laut udara dan juga darat
Belum mendapat petunjuk tepat

Sanak saudara semakin gundah
Diberi motivasi penuh berhemah
Hadapi dugaan cekal dan tabah
Fikiran tenang hilangkan resah

Banyak negara menaruh simpati
Peralatan canggih bantuan diberi
Strategi dirangka pakar bestari
Lautan luas puas  dicari

Cukuplah sudah persembahan kami
Nyanyian syair mohon berhenti
Menadah tangan menyusun jari
Mohon pesawat cepat ditemui

MUhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
20 Mac 2014






Tuesday, March 18, 2014

NAZAM HARAPAN (MH370)


NAZAM HARAPAN (MH370)

Segala puji hanya bagi-Mu  ya Allah
Selawat dan salam ke hadirat Rasulullah
inilah nazam penuh ibarat dan pedoman
indah persembahan  jadikan pannduan

Pukulan rebana rentaknya  bertingkah
Iramanya  merdu puitis  berhemah
buat penghibur hadirin sekalian
hilang segala rasa duka dan rawan

Rakan taulan dan sahabat handai
benang yang kusut belum terlerai
biar ditangani oleh pakar bestari
elakkan buat sebarang spekulasi

Kepada semua waris penumpang
diharap semua duduk bertenang
pakar  kaunseling sedia membantu
supaya emosi tidak terganggu

Maklumat  sahih dan berintegriti
beritanya  telus tiada sembunyi
jangan ada yang ambil kesempatan
ini bukan cerita  senda gurauan

Sampailah masa mengundur diri
insya Allah kita akan berjumpa lagi
salah dan silap harap dimaafkan
doa dan harapan mohon dimakbulkan

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
19 Mac 2014