Friday, January 31, 2014

ROTAN, LOCENG, RUMPUT, DAN PINDAH

ROTAN, LOCENG,  RUMPUT,  DAN PINDAH

Menangguh kerja rumah
rotan menerjah resah
tangan gelisah

Loceng bergantung pilu
gemerincing di leher yang ngilu
adalah simolik perlakuan yang dungu

Meragut rumput
disua ke mulut rungut
manifestasi tindakan yang  kalut

Langkah yang gundah
segera berpindah
elak luka terus  bernanah
selesaikah masalah?

Buat pemantauan
jangan ambil ringan
bukan suatu bebanan
latihan pengukuhan
suatu usaha berterusan

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
31 Januari 2014
 


Thursday, January 30, 2014

KABUS DAN GUNUNG

KABUS DAN GUNUNG
Kabus berhimpun
gunung  terpegun
awan menerjah
suria mencelah
pawana menderu
puncak  membiru

Muhmd Amin bin Bacho
SMK Serian

31 Januari 2014

Wednesday, January 29, 2014

SEEKOR BURUNG

SEEKOR BURUNG

Terbanglah burung
menyapa gunung
menerjah gaung
tersalah lorong
getah berlindung
kaki tersandung
anak  meraung
sangkar tergantung
badanpun terkurung

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian

30 Januari 2014

Tuesday, January 28, 2014

BUNGA NAN SEKUNTUM II

BUNGA NAN SEKUNTUM II

Kumbang mengepak
kelopak tersentak
kuntum mengelak
awan berarak
senja merangkak
perdu tercampak
bunga di puncak

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian

29 Januari 2014

MADU

MADU

Secawan  madu
dari tualang di hutan
dihirup bersama sebiji telur ayam kampung
yang mentah dan hanyir
bukan telurnya yang sedap
adunan dua unsur itu
khasiat yang tersirat

Madu yang ini
bukan sekadar sukatan secawan
tapi sebenar amat pahit
kerana asal-usulnya
dari desa sebelah
khasiatnya mendera emosi
bilakah  manisnya akan terasa?
kerana niat yang  tidak  ikhlas

Konon ini sunnah  nabi
boleh ikut kehendak  hati
banyak lain yang muakad
amat dituntut untuk dibuat
namun, sengaja dilengahkan

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian

28 Januari 2014

BUNGA NAN SEKUNTUM

BUNGA NAN SEKUNTUM

Kumbang merayu
kuntum merindu
kelopak membiru
harum celaru
senja berlalu
bungapun layu

Muhamad amin bin Bacho
SMK Serian
28 Januari 2014


Monday, January 27, 2014

KETENTUAN

KETENTUAN
Manusia hanya  merancang
Allah yang maha mengetahui
yang menentukan segalanya
sudah tercatat  di Loh Mahfuz
reda akan ketentuan-Nya
itulah qada dan qadar

Yang ingin berpasangan
carilah di mana sahaja
doa mengirngi usaha
hukum syarak menyulam sama
syukur sekiranya ada
jika tidak, jangan kecewa
ada hikmah di sebaliknya

Muhamad Amin
SMK Serian

27 Januari 2014

Saturday, January 25, 2014

BERISTIGHFAR, BERTASBIH, BERTAHMID DAN BERTAKBIR

BERISTIGHFAR, BERTASBIH, BERTAHMID DAN BERTAKBIR

Dan, beristighfarlah Astaghfirullahul azim
memohon ampun atas segala kekhilafan yang dilakukan
untuk menyatakan kehairanan dan rasa terkejut
saat terasa dera datang menghadang

Bertasbihlah   Subhanallah
ucapan mensucikan Allah
jika melihat kejadian yang menakjubkan
dengan menyebut hanya sekali
pahalanya akan memenuhi timbangan mizan di akhirat
biasanya amat berat untuk disebut
walaupun sebenarnya ringan

Bertahmidlah  Alhamdulillah
segala puji bagi Allah
memuji kebesaran Allah
saat bahagia datang berandang
Allah SWT dipuji atas keindahan nama-Nya
memiliki segala kebaikan.
tanda bersyukur atas nikmat kurniaan-Nya

Bertakbirlah Allahuakbar
memuji kebesaran Allah
hamba yang merendah diri
hamba yang menyerah diri
hamba yang mengabdi diri
kerana apa yang kita saksikan di sekeliling kita
terbukti akan kebesaran-Mu Ya Allah

Daripada Abdullah bin Amr,
Para sahabat bertanya Rasulullah:
“Mengapakah perkara yang begitu mudah dilakukan,
tidak ramai yang mengamalkannya?”
Maka jawab Rasulullah:
“Syaitan  datang kepada salah seorang daripada kamu setelah selesai solat,
lalu syaitan mengingatkannya akan pelbagai keperluan yang harus ditunai
dan terus bangun tanpa mengucapkannya”



Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian

26 Januari 2014

Friday, January 24, 2014

ISLAMLAH KITA

ISLAMLAH KITA

Kitapun Islamlah
dengan terlafaznya kalimah syahadah
Asyhadu Allah Ilaha Illallah
Wa Asyhadu anna Muhamad Rasulullah
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah
Dan Muhamad itu  pesuruh Allah

Islamlah kita
jika amalan semua
berlandaskan kitab al-Quran dan sunnah nabi
yang menjadi panduan ke jalan yang diredai

Islamkah kita?
jika mengabai rukun yang lima
rukun imam entah ke mana
yang sunat diutama
mengabai solat fardu
jalan yang rancu
duduknya celaru

Adakah Islam kita hanya di luar?
perlu seimbang jasmani dan rohani
nurnya perlu meresap di sanubari
jangan hanya pada nama
orang puasa kitapun puasa
jadi, penghayatannya perlu menyeluruh

Assolatu imaduddin
solat itu tiang agama
jika semuanya condong
jalanpun jadi huyung

Yang rebah kita bangunkan
yang senget kita tegakkan
yang kelam kita terangi
yang pudar kita hiasi
kita imarahkan surau dan masjid
kita kumandangkan irama tauhid


Muhamad Amin bin Bacho
Masjid SM Sains Utara
Matang Jaya Kuching

10 Januari 2014






Sunday, January 19, 2014

DIRGAHAYU SEKOLAHKU

DIRGAHAYU SEKOLAHKU
(Sempena Sambutan Jubli Emas SMK Serian 2014)

Menyingkap tirai renta
dalam kamar khazanah nostalgia
tersimpan catatan segala pendeta
angka lima puluh bersalut emas permata
masih petah membilang angka
terus ligat menyusun aksara
jari-jemari giat mengetuk kekunci maya
demi memajukan anak bangsa

Laluannya dulu penuh semak
menumpang di teratak sebak
kini gah menyusun garis-garis berentak
meskipun di premis yang masih sesak
kilauan obor hangat semakin marak
menjulang semangat menuju puncak

Para peneraju bersemangat waja
gigih mengadun rencana
hilaian gelak ketawa sendaloka
mendendangkan lagu ria
bertandak joget gembira
berlakon pantomin sketsa
mengusir duka nestapa
hidangan halwa telinga

Menghambat segala salahlaku
mencerah awan kelabu
menyelesai segala yang keliru
menceria suasana haru
menggapai hamparan langit biru

Pemegang amanah perdana
membantu melaksana transformasi negara
tabah menghadapi tugas KPI, APDM, SAPS, PBS dan NKRA
era globalisasi menuntut warga pendidik selalu siaga
tanpa jemu menggalas segala agenda yang direncana

Sanggup mengayuh rakit ke muara
arus yang deras diredah bersama
dengan semangat yang membara
mengalir keringat tabah berusaha
demi mengaut sekantung mutiara
menjadi utas tasbih untuk bertakwa

Mencecah setengah abad usianya
buah yang ranum nikmat terasa
sarjana, cendekia dan para bijaksana
ahli korporat, politikus dan jurutera
para menteri, peguamcara dan peguambela
bertebaran mengisi ruang di seluruh mandala

Selamat menyambut hari bahagia
dirgahayu sekolah tercinta
semoga tetap menabur jasa
pada nusa dan bangsa
berkat kurnia Yang Maha Esa

Muhamad Amin bin Bacho
19 Januari 2014

Tuesday, January 14, 2014

KANGKUNG OH KANGKUNG II

KANGKUNG OH KANGKUNG II

Tumbuh melata di pinggir kali
menyemak di tepi sawah padi
jadi mangsa semburan racun rumpai
jasadnya lalu layu terkulai
hilang bisa tumbuh semula
semakin bertambah suburnya

Rasa teringin lalu dipetik
buat sayur dan ulam colek
dicelur air mendidih panas
diadun ramuan  kuah kacang pedas
lazatnya selera kampung
itulah penganan sayur  kangkung

Tiba-tiba sahamnya naik mendadak
dari bawah dijulang  ke puncak
pakar sambilan  sibuk membuat disertasi
membuat rumusan  setiap segi
jadi bahan peragaan  di galeri tradisi

Mungkin pengganti daun salad
di restoran makanan segera mendapat tempat
mesra bersama burger dan piza
lobak  dan kobis mengeluh kecewa
mayonis hilang aromanya
sambal belacan  enak rasanya

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
15 Januari 2014







KANGKUNG OH KANGKUNG

KANGKUNG OH KANGKUNG

Maharaja China bertanya
makanan kegemaran orang Melaka
lalu Tun Perpatih Putih berkata
kami gemar makan sayur kangkung
dimasak panjang tanpa dipotong

Terlalu ingin menatap wajah baginda
duduk bersemayam di atas mungkur kaca
terbina dalam bentuk kepala naga
siapa memandang mengundang  celaka
rombongan  berlutut dan sujud semua
menghadap hidangan juadah istimewa
semasa dimamah mendongak kepala
dapatlah peluang keemasan
tiada siapapun perasan
inilah legenda penuh helah
penampilan penuh berhemah

Sayur yang hebat
Rasanya lazat
penuh berkhasiat
herba yang boleh jadi ubat
tumbuhnya subur merata tempat

Liputan  meluas media perdana
konon sudah turun harganya
terkilan mereka di atas sana
tiada siapa yang mensyukurinya
hanya paparan sinis melalui maya

Muhamad Amin bin Bacho,
SMK Serian
14 Januari 2014







Monday, January 13, 2014

KHATAMUN NABIYIN

KHATAMUN NABIYIN

Para Nabi dan Rasul diutus
untuk memimpin manusia ke jalan lurus
diutus kepada kaum yang  menyeleweng
dari lunas-lunas ketauhidan
Muhammad adalah Khatamun Nabiyin
Nabi akhir zaman
tiada lagi nabi selepas baginda

Lahir di Makkah, Semenanjung Arab
sebagai anak yatim piatu
dijaga oleh datuknya
Abdul Muttalib bin Hashim
kemudian bapa saudaranya Abi Talib

berada dalam  kalangan masyarakat jahiliyah
sering ke Gua Hira untuk mendapat  hidayah
mencari jalan penyelesaian
terhadap kebejatan sosial yang dihadapi
bermunajat keada Allah
agar memusnahkan kedurjanaan
yang kian berleluasa
ketika sedang bertafakur
lalu mendapat wahyu pertama,
Jibrail mendatangi Muhammad
“bacalah…”
“saya tidak tahu membaca…”
“bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu
yang menciptakan manusia dari segumpal darah
bacalah dengan nama Tuhanmu yang amat pemurah
yang mengajar manusia dengan perantaraan
dengan menulis dan membaca
dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya…”
(surah al-‘Alaq:1-5)

Pembawa rahmat seluruh alam
Rasulullah bagi seluruh umat di dunia
pemimpin, ketua tentera dan pendamai
dengan pendekatan secara  wasatiyah
konsep kesederhanaan

Selawat dan salam ke atas junjungan kita
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya
Berselawat ke atas Nabi,
Wahai orang-orang yang beriman,
Berselawatlah kamu kea as Nabi
Dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”
(Surah al-Ahzaab: 33-56)


Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
13 Januari 2014


Sunday, January 12, 2014

MENANGANINYA DENGAN BIJAKSANA

MENANGANINYA DENGAN BIJAKSANA

Dr. Yusof  Qardawi dalam khutbah Jumaatnya
Ulama diiktiraf peringkat dunia
tingginya ilmu tiada bandingan
merungkai segala kekaburan
yang menjadi kerumitan
menyimpulkan segala permasalahan
terjemahan surah pembuka kitab Al-Quran ayat kedua
segala  pujian hanyalah Tuhan alam semesta
bermakna Tuhan untuk semua

Mengapa harus menjadi perbalahan
usahlah bebani pemikiran
tentulah membantutkan agenda  pembangunan
banyak agenda berlegar dalam sanubari
selama ini kita dalam harmoni
prasangka menggugah keamanan  dijauhi
hidup penuh muafakat dan bertoleransi
itulah keunikan negara kita
pelbagai kaum dan agama
tanganilah isu ini secara bijaksana
dengan konsep “lakum dinukum waliya Din”
untukmu agamamu dan untukku agamaku
Semoga mendapat rahmat  yang Maha Esa

Oleh:
Muhamad Amin bin Bacho
Sekolah Menengah Kebangsaan Serian
12 Januari 2014




Thursday, January 2, 2014

SAAT AKHIR HADIRMU

SAAT AKHIR HADIRMU

Perlukah lagu yang merdu,
mengiringi pemergianmu?
wajah nan ayu
mesra tapi  malu
senyum bermadu
tawanya  rancu

Damparan  spekulasi
kebas langkah serikandi
aroma janji mewangi
menabur benih berduri
warga menajam  belati
ngilu tertusuk  diri

Langkah kakinya kurang bermaya
semua menjurus ke atas sana
mendongak semakin tegang terasa
kertas transaksi pudar warnanya
dentingan sen tidak lagi berirama
asap mobil kurang pekatnya
diabetes hilang bisanya
plaza tol hampir tertutup pintunya

Kuucapkan salam sejahtera
kauakan bertandang semula
merawat lataran  yang luka
mengganti kanvas lama
tapi, sketsanya masih sama

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian

31 Disember 2013