Sunday, October 31, 2010

PERANTAU DI BUMI ARABELLA


PERANTAU DI BUMI ARABELLA
(BUAT NUR AMALINA DI jORDAN)

Setelah sekian lama
kau semai benih-benih cita
lantas bercambah tunas-tunas cinta
di pintu sanubarimu sudah kukuh bertakhta
sudah terpahat megah pada tugu bersendi permata
sehingga lunas sebuah program penjana minda
secara diam-diam kau siram dan baja
segugus impian waja
berbekalkan secebis nota
dengan segulung diploma
kau nekad mahu ke sana

Seribu liku payah kau harungi
onak dan duri tabah kau tempuhi
jagat raya megah kau rentasi
samudera luas mudah kau renangi
gagah berani persis pejuang serikandi
semangat kental jiwa Mahsuri

Bertarunglah wahai puteriku
pena mutiara itulah senjatamu
medanmu dilatari hamparan permaidani ungu
berdiri megah di persada IPT
menara Yarmouk bisa kau takluki
keringat lelah bersulam dedikasi

Dengan iringan sejambak doa
bersama rindu dendam adik-adik manja
usahlah kau persiakan harapan mereka
setelah kau genggam segala nilam permata di bumi Arabella
kembalilah dikau semula
menyahut lambaian bumi satria
menabur bakti semampunya
kemurnian restu ayah dan bonda
memohon limpah keredhaan Yang Maha Esa

Ilham:
Muhamad Amin Bin Bacho
KLIA Sepang,
17 September 2010

Wednesday, October 27, 2010

MENCARI MELODI DAMAI



MENCARI MELODI DAMAI


Dengan dendangan irama Lady Gaga pencetus kebingitan
disulami deruan jentera moden pemacu pembangunan
setiap warga penghuni kota metropolitan
rimas dan lelah menghirup asap kelabu
nafas sesak di celah-celah jalur berdebu
anak-anak lemas di lorong-lorong becelaru


Lalu aku bertandang ke sebatang kali nostalgia
letaknya di pinggiran sebuah desa
dengan seribu keindahan santapan jiwa
burung-burung riang berseloka
puputan bayu dingin mengusap mesra
buih-buih putih lemah gemalai rentak tarinya
airnya berkocak santun
membentuk riak-riak kecil beralun


Bunga-bunga teratai mekar menguntum
jelingan Pak Andak mengukir senyum
tiupan serulingnya sayu menggemersik
diselangi bunyi sang cengkerik
merdunya gesekan biola Pak Senik
di sinilah tertambatnya jiwaku
hening dan damai memikat kalbuku


Aku tercari-cari
seolah-olah ada kekurangan di desa ini
anak-anakku
ke manakah geranganmu?
ku sapa seorang pak tua
sebatang cerut terselit di bibirnya
lalu katanya, mereka dah lama melangkah pergi
pergi menyahut seruan Pak Menteri
menikmati keenakan ayam Kentucki
belajar menekan butang LRT
tinggallah kami di sini
mengerah kudrat yang berbaki
demi menjamah sesuap nasi


Betapa sinis pak tua berperi
menjadi lemah dan longlai langkah kaki
melodi damai telah kutawan
telah rapi dalam genggaman
terpaksa kulepaskan
lantaran bebanan yang tergalas sedia menanti
dengan izin Yang Maha Esa kita akan berjumpa kembali


Ilham:
Muhddamine
SMK Serian
28.10.10









Tuesday, October 19, 2010

BICARA BUDI DAN BAHASA

BICARA BUDI DAN BAHASA

Budi itu akal
terbit dari minda yang rasional
dengan pemikiran yang normal
membentuk kemuliaan akhlak
menjana akal yang bijak
tindakan yang penuh berhemah
lembut tuturkata penuh bermadah
kebajikan bersendi keikhlasan
merangsang sifat dermawan

Bahasa pula terbit daripada lambang bunyi
terhasil secara harmoni
diukir indah diungkap mesra bernada lisan
membentuk bicara menawan
lalu menjadi madah bertatasusila
melalui kertas dan tinta
dikarang menjadi tulisan
dianyam menjadi nukilan
lalu menjadi rangkap-rangkap berseni

tercipta bait-bait puisi
indahnya tuturkata
akhirnya menjadi wacana

Bertautlah budi dan bahasa
berputik ramah pekerti mulia
dari timur tumbuhnya akar budaya
disirami keheningan nilai-nilai murni
dibajai kesuburan jatidiri
tumbuh menghijau budi pekerti
disinari kehangatan cahaya suria kesopanan
bagi menjana modal insan berwawasan
mengharungi cabaran mendatang
budaya global kian menerobos kencang
anak-anak kita kian giat perpesta
di atas hamparan jalur-jalur luka
lalu budi bahasa bangsa hilang bisanya

Agenda demi agenda dirangka
saban tahun bulan bahasa giat dilaksana
namun pengisiannya hanya di medan-medan kota raya
kempen berbudi bahasa lantang bergema
merentasi jagat raya
keegoan petualang-petualang bangsa
tak lut hanya dengan bersenjatakan lagu dan irama
agenda alternatif harus direncana
untuk membendung kebejatan budaya yang melanda

Cetusan Idea
Muhddamine
SMK Serian
19.10.10



Monday, October 18, 2010

MENU SATU MALAYSIA

Menu Satu Malaysia

Di atas sebuah meja
beralas kain aneka warna
terhidang menu pelbagai rasa
buat santapan satu Malaysia

Di sana ketupat dianyam mesra
kemas dipotong segar aromanya
dikelilingi bilah-bilah lidi dengan daging dan kuah yang ramah
buat merangsang selera hadirin meratah

Dari Bumi Kenyalang menunya buluh
di dalamnya ayam kampung dipansuh
digaul sebati daun ubi
beras biris nasi wangi
linut Melanau dari tepung sagu
dicecah sambal belacan Bintulu

Ayam bakar dipercik putih santan
laksam berkuah ikan
bersama sayur kacang, tauge dan belacan
yang enaknya nasi kerabu
pelbagai ramuan berkuah budu
itu sajian Cik Siti Wan Kembang
memikat selera sesiapa yang bertandang

Ini menu Selatan
menampilkan pelbagai hidangan
nasi impit soto dan lontong
memikat hati para pelancong
masakan laksa daripada spaghetti
bunga kantan, kuah ikan berperasa kari
tempe daripada kacang soya
dibuat sambal godok enak perisa
tetamu bertandang pasti ceria

Lepat loi berasak dibungkus daun pisang
dimakan bersama masakan rendang
enak dicecah bersama serondeng
bertambah lazat bersama sambal goreng
hidangan istimewa hari raya
itulah Wak Bugis empunya selera

Tom Yam, Nasi paprik, dan Nasi Goreng Pattaya
negara jiran asal-usulnya
masakan utara kegemaran semua
nasi kandar dan laksa berkuah ikan
sajian Pulau Mutiara zaman berzaman

Ikan kering gulai batang keladi
masak lemak cili api
penganan orang Negeri

Ayam, kambing, ikan masak kari
dalam tempayan panas masak ayam tandhori
popedom tose dan nasi beriyani
roti canai berkuah dalca
masakan India pelbagai rasa

Yee sang, ba ku teh dan kacang ma
masakan utama Tahun Baru Cina
makan besar seisi keluarga
pasti semua berasa bahagia

Dek keterbatasan ruang
ada menu yang tak terhidang
pada masa lain yang terluang
akan diusahakan juga
agar semua menikmatinya

Itulah menu satu Malaysia
elok dinikmati setiap warga
sehari bertandang takkan habis dirasa
esok lusa bertandanglah semula
sebagai simbol perpaduan negara
toleransi ke arah integrasi
demi mengelak sebarang tragedi
Insyaallah sentiasa dalam lindungan Ilahi

Nukilan:
Muhddamine
SMK Serian
18.10.10





Saturday, October 9, 2010

ANUGERAH BUAT ANAK-ANAKKU

ANUGERAH BUAT ANAK-ANAKKU
(Calon-calon Peperiksaan PMR, SPM dan STPM 2010)

Anak-anakku
jauh perjalananmu
aku tahu semangatmu
begitu kental mengharungi liku
liku-liku penuh serabut yang kusut
namun hatimu teguh, seteguh karang di laut
tegakkan badanmu, pandang ke hadapan
simpang-siur jalanan kau abaikan
ikutilah jalan yang lurus
melangkah terus

Anak-anakku
cekalkan hatimu

akan sentiasa kedengaran
bisikan nakal yang membingitkan
laungan-laungan sumbang yang minta perhatian

daripada mereka yang lapar mencari mangsa
jangan alihkan pandanganmu ke sana

kelak hidupmu akan merana
kau akan tersungkur

segeralah undur

Anak-anakku
kau sibuk membilang waktu
detik demi detik pantas berlalu
bicara sifumu memenuhi ruang minda

bergelumang di atas timbunan catatan tinta
persis seorang perwira sedia bertarung di perbatasan nota
hanya menunggu saat untuk membidik peluru ilmu
akan ditabur di atas jalur-jalur putih dan biru
berjuanglah wahai anak-anakku
usah gementar, terus maju

Anak-anakku
tamatlah detik itu
kini jiwamu sudah merdeka
bebas bagai unggas di angkasa

merdeka di sebalik debaran menunggu
cemerlang tak cemerlang itulah penentu hala tuju
dapat melangkah setapak ke menara impian
kejayaan pasti dalam genggaman
itulah berkat ketekunan usaha
Kurnia Yang maha Esa

Nukilan:
Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian,
Jalan Ilmu
10.10.10