Friday, November 19, 2010

SUNGAI APIN KIAN BERPUTIK MEKAR


SUNGAI APIN KIAN BERPUTIK MEKAR
Berdekad-dekad yang lalu
air hanyirmu mengalir lesu
sampan kolek galak memacu kehidupan
pilu menyusur arus zaman
menghilir ketika surut, mudik ketika pasang
dijana oleh enjin usang
dengan tenaga lima kuasa kuda
derunya longlai mengharung alun derita

Berlaku transformasi pada atmosferanya
rakyat marhaen dilanda kejutan budaya
dengan lingkaran turap perkasa
Jalan Selangking menjalar seribu liku
deruan mobil mengganas alur kelabu
bertarung Mat Rempit di arena yang serabut
dengan pertaruhan nyawa meragut maut

Awas anak-anak berjiwa waja
di sebalik ribut ghairah melanda
ada kumpulan-kumpulan durjana
sibuk menggalas kantung bernoda
cuba menjaja gula-gula pesona
cuba menyemai benih-benih lara
anak-anakku usahlah tergoda

Dari denai kelam menjadi lorong cerah
itulah nadi pembangunan yang ramah
berkat tabah, tekun dan cekal
dengan usaha gigih yang tekal
masih ada tarian berentak sumbang
dengan berlantai tanah gersang
mengikut langkah sang jalang
semua anugerah dianggap songsang

Nikmat kurnia-Nya maha agung
semoga hamparan suci semakin melambung
rakyat makmur rezeki menggunung
aman damai mesra disanjung

Ilham:
Muhamad Amin Bacho'
Pekarangan SK Sungai Apin
1 Syawal 1431
11 September 2010

Wednesday, November 17, 2010

SATU PENGORBANAN YANG MAHA AGUNG


SATU PENGORBANAN YANG MAHA AGUNG
(sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha 1431H)
Wahyu turun melalui mimpi
diterimanya dengan seikhlas hati
walaupun sebak dadanya
Ibrahim dalam dilema
putera tunggal penghibur duka
sedang usia meningkat remaja
segala kudrat muda amat berguna

Bakal pewaris kelangsungan keturunan
kini harus pula dijadikan Qurban
nyawanya akan direnggut oleh tangan ayah sendiri
sungguh berat ujian dihadapi
namun sebagai seorang nabi
menjadi contoh teladan
perintah Allah wajib ditunaikan

Dengan hati yang pasrah
berangkatlah ia ke Makkah Al-Mukkarramah
membawa misi satu perintah
Ismail menurut sahaja
menerima perintah dengan lapang dada
penuh taqwa
memohon agar kakinya
diikat seketatnya
agar kurang pergerakan
kurang menyusahkan
pakaian ditanggalkan
supaya tidak terkena parcikan
darah menglir lara
Siti Hajar hiba

Ditambah permintaan
parang pemisah ditajamkan
agar kurang rasa derita
simpanlah baju tanda mata
salam untuk bonda tercinta

Syaitan laknatullah
sibuk berbisik resah
giat menabur dakyah
agar perintah Allah dibantah

Kini tiba detik ngeri
satu pelukan suci
disulam kucupan abadi
berbaringlah di atas lantai hakikat
mata Ibrahim ditutup rapat
dengan meditasi bermunajat
dengan linangan air mata luka
dengan denyutan nadi nestapa
tajam parang menerjah duka
tak semena-mena parang tumpul hilang bisa

Ibrahim lulus ujian ketaatan taqwa
dengan ketinggian mukjizat Allah Taala
sebagai ganti korban kehebatan cinta
tiba-tiba menjelma seekor kibas
Ismail kini bebas

Inilah agungnya sebuah pengorbanan
menjadi ritual zaman-berzaman

ilham:
Muhamad Amin bacho
SMK Serian
12 Zulhijjah 1431
17 November 2010

Monday, November 15, 2010

CITRA TENTANG CINTA


CITRA TENTANG CINTA
Cinta itu kasih
terbit dari nubari jernih
kasih itu sayang
terbit dari dada senggang
sayang itu berahi
terbit dari hati suci
berahi itu asyik
terbit dari paras cantik

Ditaburi benih-benih setia
membentuk jiwa mulia
dipupuk dan dibaja
menguntum sejambak bunga
idaman kumbang berjuta
dipercik titis-titis madu
mengalir pada kelopak ungu
mesra mengusik kalbu
lalu rona membiru
menggemersik alunan rindu

Nenek moyang pernah berkata
sinis bermadah pantun seloka
katanya, "cinta itu buta"
cuba selami maksud bicara
tanpa mengenal paras rupa
yang capik, yang bisu yang istimewa
apabila ribut asmara melanda
semuanya manis belaka

Keringat dicurah mesra
mempertahankan maruah bangsa
musnahkan musuh durjana
kedaulatan dipelihara
berpandukan pada prinsip yang lima
lambang ideologi jatidiri
demi menangkis sebarang tragedi
telah menjadi trauma mimpi ngeri
itulah cinta dan kasih sayang sejati

Betapa indahnya kasih abadi
penuh pasrah memuji Ilahi
keagungan yang murni
cinta akan Allah dan rasul-Nya
patuh dan taat pada perintah-Nya
itulah nikmat kekal selamanya

Citra tentang cinta
mohon undur seketika
dek kesempitan ruang yang ada
masih banyak bual kata
yang ditangguh sementara
pada kesempatan mendatang
dengan arena yang lapang
akan disambung sembang yang matang


Idea: Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
15 November 2010

Saturday, November 13, 2010

BERHENTILAH SAYANG


BERHENTILAH SAYANG

Dikepit di celah-celah jari yang lumpuh
diselit di celah-celah bibir yang angkuh
dibakar zarah yang likat
disedut kabus yang pekat
dihembus kepulan yang nikmat
semilir dingin menerjah galak
awan kelabu lesu berarak
memenuhi ruang sempit yang sesak

Tingkahmu mengundang padah
mencemar alam yang ramah
pintu jantungmu garang menyergah barah
tekak berkahak menjadi perit
nafas yang sebak menjerit
mata semakin kuyu
denyutan nadi semakin rancu

Berhentilah sayang
sebelum badai meribut kencang
kelak datang sang pelualang
menyemai benih-benih songsang
menyuntik jarum-jarum durjana
menabur kapsul-kapsul luka
tercampak ke dalam gaung lara
jasad berangka bak bangkai bernyawa

Berhentilah sayang
tanamkan tekad cemerlang
misi seorang pejuang
berjuang di landasan gemilang
langkah bermaruah
perjalanan berhemah
menuju ke suatu lorong cita
dengan petunjuk Allah azzawajalla


Ilham:

Muhd Amin bin Bacho

SMK Serian

14 November 2010

Friday, November 5, 2010

LORONG-LORONG IMPIAN


LORONG-LORONG IMPIAN
Dalam perjalanan ini
pelbagai lorong berliku terpaksa dilalui
untuk menuju ke suatu destinasi
ada kalanya tersasar jauh
merempuh pagar kukuh
lalu tersungkur jatuh

Bangkit merangkak lesu
diiringi melodi sendu
irama gemersik syahdu
ada kalanya mendayu pilu
dengan longlainya langkah nan pincang
diiringi tarian gemalai nan sumbang

Semakin yakin ku melangkah
dari merangkak bertatih megah
jatuh-jatuh bangun berpimpin tongkat budi
bimbang tersungkur lagi

Kini barulah kutemui
lorong-lorong yang kucari
ramah di simpang sana
laluannya lurus dan rata
jalan terus mara
di hadapannya sebuah kota perkasa
di tengahnya sebuah menara waja
di belakang tampak berbalam banjaran gunung cita
subur di kelilingi pohon-pohon tinta
tekadku ingin ke sana

Semakin pantas kumelangkah
bak pendekar satria bumi bertuah
hasratku ingin ke sana
sebelum berlabuhnya tirai senja
sebelum kelam malam menerpa

Lalu kuhimpun segala pusaka
kutuai buah-buah permata
kukutip khazanah melata
kupetik karya sarjana
kucoret madah pendeta
dengan harapan semakin membara
semakin nekad untuk ke sana
kupohon doa restu Yang Maha Esa
moga hasratku ke lorong-lorong impian terlaksana

Idea:
Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
5 November 2010

Tuesday, November 2, 2010

BENCANA BANJIR


BENCANA BANJIR
Titik-titik rintis
bermula dengan gerimis
bertambah tebal menitis
tebal menjadi pekat
titis-titis semakin lebat

Penghuni kian gundah
lalu menjadi resah
kalut yang cemas
segera dikerah berkemas
cergaskan badan jangan culas
dokumen penting jangan abaikan
diselit rapi elak keciciran
jika musnah merana badan

Semakin tinggi parasnya
bertambah kencang arusnya
semakin sebak dadanya
bertambah sesak nafasnya

Menunggu tibanya sampan rahmat
suara kanak-kanak keriangan nikmat
mereka belum faham maksud tersirat
di sebalik buih-buih putih menari rancak
terselindung air hanyir memualkan tekak
kelak mengundang bencana
menjadi igauan penuh trauma

Surut yang kusut
laman yang hanyut
lantai yang serabut
lendir melekit berlumpur
kilauan dinding menjadi luntur
sofa menjadi uzur

Musnah impian
punah harapan
sendunya hati hancur luluh
bak kaca terhempas jatuh
dermawan budiman
hulurkanlah bantuan
beban derita menjadi ringan

Drama luka pasti diulang tayang
tentu meningkat angka korban malang
tersediakah agenda murni?
menangkis igauan mimpi ngeri
segeralah capai resolusi
laksanakakanlah segala teori
demi mengelak sebarang tragedi

Ilham: Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
2 November 2010