Thursday, November 28, 2013

ANGIN

ANGIN

Dipuput segar rasanya
ditiup dingin rasanya
dihembus damai rasanya
diramas bahagia  rasanya
diterjah cemas rasanya

Menusuk ke seluruh anggota
kesannya  pelbagai rupa
menjadi ahmar badan tak bermaya
menjadi senggugut mimpi ngeri  semua dara
menjadi kus-kus perangai  tak tentu hala
masuk bersama asap sesak nafas jadinya
masuk ke dalam perut sebu tidak terhingga
keluar dari  atas terasa kenyangnya
keluar dari bawah mencemar udara
naik ke kepala  membawa sengketa
bersama mata panduan setiap pengembara
puh kiri puh kanan suatu mantera
eloklah jika  diabaikan sahaja

Datang dari barat, menjadi kebiruan
datang dari timur penuh kesopanan
datang dari atas menjadi tuan
datang dari bawah kurang sambutan
datang waktu pagi suasana nyaman
datang waktu senja  membawa kerinduan
datang waktu malam  suatu amaran

Apabila ganas ribut melanda
badai dan taufan suatu bencana
puting beliung tidak kurang hebatnya
ribut Haiyan mengorbankan harta dan jiwa

Fenomena alam yang biasa
apa sahaja natijahnya
ketentuan Yang Maha Esa


SMK Serian
28 November 2013




Tuesday, November 26, 2013

PAGI

PAGI
Bangunlah sayang
azan Subuh sudah berkumandang
marilah sembahyang

Sesungguhnya sembahyang itu
lebih baik daripada tidurmu
selesai sudah
lalu bertebaranlah di bumi Allah

Pagi yang berkat
kita munajat
memohon rahmat
semoga selamat
dunia dan akhirat

Pagi yang mulia
melakar doa
menghambat  derita
mencantas sengsara
menghimpun bahagia

Pagi yang nyaman ini
menangguk rezeki
usaha berdikari
walau sesuap nasi
menyara anak isteri

Pagi yang ceria
nun di ufuk sana
cerah sinar sang suria
sirna cahaya purnama
sedia menggalas tugas mulia

SMK Serian
27 November 2013









TETAMU PAGI

TETAMU PAGI

Selesai Subuh dikunjungi tetamu pagi
dari mana asalnya tidak kuketahui
riak wajahnya  yang berseri
kusambut penuh  pekerti
sudi menjejak kaki
mulianya budi

lantas kutanya
gerangan hajatnya
senyum  penuh mesra
bersamanya  kitab pendeta
diletak satu persatu di atas meja
kutitip sebuah kitab warna biru tua

Kubaca kandungannya berkali-kali
banyaknya  nukilan menarik hati
timbul minat untuk membeli
lalu dihadiah sepenuh  hati
kutanya kenapa  begini
ikhlas memberi puji

Aku jadi  kehairanan
lalu lenyap dari pandangan
tanpa  sempat memberi  ucapan
di sana kabus tebal menutup jalanan
ruang tamu rumahku semerbak bau haruman
halusinasi pada  dingin pagi yang sukar kulupakan

Serian
26 November 2013



                                                               

Sunday, November 24, 2013

BOCOR LAGI

BOCOR LAGI

Apalah nak jadi
sudah heboh sana sini
dengar cerita bocor lagi
hilang integriti
lenyap nilai murni
musnah transformasi
NKRA tersembunyi
modal insan tersembam ke bumi

Atap bocor ditadah timba
perahu bocor  ditampal gegala
periuk bocor dicari gantinya
tangki bocor dibuang sahaja
rahsia bocor buruk padahnya
yang ini bocor rosak wibawanya

Anak-anak kita bersengkang mata
demi memenuhi satu cita-cita
tiba-tiba ini jadinya
sia-sia segala usaha

Ketat prosidurnya
jelas SOP-nya
licik agendanya
tangkap dalangnya
siasat segera
terima padahnya

Wawasan perdana yang kita nanti
bersihkan segala karat dan daki
pamerkan di mata dunia
kita boleh jayakannya

SMK Serian
24 November 2013






Saturday, November 23, 2013

TETAK, JANGAN SIK TETAK

TETAK, JANGAN SIK TETAK

Apa hal di sia bisin
nang tegisin-gisin
macam ada setan ngirin
ampe jak menar  tetak
mun ikut  kata alim ulamak
makruh hukumnya  tetak menar gilak
mun di dunianya menar tetak
di akhirat kelaknya nangis banyak

Kata Nabi Rasulullah
Guro ya sik salah
Pake ngasak ati kita
Biar ilang asa duka
Dapat juak pahala
Dalam guro  sik ngumpat sik menghina
Sik merik jaik nama agama

Mun gelik ati gilak
Sik apat nahan tetak
embak maca  selawat
bacalah istighfar
jangan tetak sampe sik nampak bijik mata.
tengah malam nengar munyi tetak ompuan
nang kembang bulu tengkuk

Kata sidak di spetal
tetak ya tanda rindok ati
tetak ya bagus untuk  utak kita
senaman urat-urat dalam tuboh  kita
ngurang tekanan jiwa
tapi mesti ada batasnya

Banyak sebab kita tetak
nanggar urang gugok pun tetak
nanggar Raja Lawak pun tetak
apa-apa jak nok pelik, semua jadi tetak
tapi, mun nanggar urang gugok, ndak patutlah kita tetak
mesti ada rasa jaik ati, tulonglah mun dapat

Tetak sorang-sorang pun ada
tipon sik lepas di tangannya
kita nengar tentu salah sangka

silap-silap  dikatanya  gila

Friday, November 22, 2013

PAKE INGATAN NEMBIAK SEMUA

PAKE INGATAN NEMBIAK SEMUA

Apa gik polah kau sia
jalan tekayo-kayo jaknya
kulu kilir sik tentu hala
dikata encuri manas juaknya
ditalor sikit sak atinya

Cobalah duduk renah
molah keja nok ada pekdah
jadi kuli batakpun ada asilnya
oleh sepuluh ringgit pakei  belanja
siklah  nyusah urang tua

Dah bekali-kali dikerepak urang tua
nyuruh belajar bena-bena
pagi-pagi bukannya sekolah tujunya
nun! betapok di bah pun nangka
kelak digigit engkesak baruk nyaman asanya
nang entingal sik negar kata
kinek tok dah nyesal apa gunanya?

Anak urang jauh  peginya
Nun! sampe  di Merika
sik lejuk ngisik ilmu di dada
belanjanya  pun pri
perintah nanggungnya sebab maknya tinggi
balit kampung siknya lawa
alu jadi tuan injinia
sik abis dimakan gajinya
mem kacak jadi bininya

Apa nak jadi kau di sia?
Di depannya sik nampak  apa-apa
umor lom gik tua
Tuhan nulong urang yang banyak usaha
kau masuk jak Pusat Giat Mara
abis belajar kelak keja ngan  Toke Baba
ada modal kelak  mukak bengkel motokar


SMK Serian
21 November 2013






NGEREPAK AJAK

NGEREPAK AJAK

Kamek tok urang asal dari pesisir
sik pandei kelakar hal personafikasi
apatah lagik hal asonansi atau hal aliterasi
nok betema nok benada nok berirama
sik betah kukelakar nok kedak ya!

Kamek minak maok besadu
mun kita nanggar olah nembiak kinek tok
nang penin palak mak bapak ninek datok
nang jauh lain dari kita jaman mensia dolok

Kita dolok marek
sik kira depan atau belakang urang tua
bukan main bagus perange
taim makan sidak urang tua dolok
nembiak biar dudi
mun ari dah petang
emak di rumah tekiak kaong
nyuruh anak mandik
maghrib sik lamak agik
sik boleh ngelayor agik
takut kenak limpas antu setan
mun kenak limpas sidak ya
mauk seminggu demam

Jaman tok jaman siber kafe
kata sidak nok ada pemande
nak nyebut pun begulong lidah
sidaknya berejam-rejam sik kebah
entah apa nok dipolah
lebih agik mun ada gerek
nang sik nyingor kanan kerek
pegi sekolah ngembak beg puang
padu hal jalan lain simpang

bila ditunggah emak bapak
sidak ya melan anak
nei endak ati cikgu besar semakin sak

Mok di paluk undang-udang madah sik boleh
alulah kenak gantung sekolah
makin rindok ati sidak
dapat pemisi juak

Nembiak semua
cobalah nengar kata
jangan nyesal dudi ari
anak urang lain dapat besar gaji
kitak urang juak yang rugi…

SMK Serian
21 November 2013

Tuesday, November 19, 2013

KAMI AKUR, TUAN

KAMI AKUR, TUAN
Kami akur tuan
walaupun kami kempunan
ingin melihat aksi belang
terus gemilang di padang
walaupun bertarung habis-habisan
namun setakat itulah kemampuan
bola yang ditendang itu bulat
ia bergolek di  merata tempat
ketika di puncak kita dijulang
apabila merudum kita ditendang
bersedialah tuan
terimalah sebarang kemungkinan
anggap ini sebagai cabaran
mungkin di stadium sesak nafasnya
lalu pintunya luas ternganga
bernafaslah  di luar sana
usahlah menuding jari
bermuhasabah diri
pulihkan dulu rasa trauma
bukan bermakna penutup agenda

SMK Serian
20 November 2013




MUSIMNYA TIBA LAGI II

MUSIMNYA TIBA LAGI II

Musim anak ayam bersiram pagi
Musim diejek  anak dara sunti
Musim ahli bomba  membuka  pili
Musim Tok Mudim mengasah  belati
Musim diarak seperti pengantin
Musim berbaring di atas pangkin
Musim menggantung kain
Musim dapat layanan istimewa
Musim berehat sepenuh masa
Musim meminta apa sahaja
Musim ibu bapa mencongak duit belanja
Musim merancang agenda  remaja
Musim memikir usia dewasa
Musimnya tiba sekali cuma

Hospital Serian

20 November 2013

MUSIMNYA TIBA LAGI

MUSIMNYA TIBA LAGI

Musim rewang
Musim sekampung bertandang
Musim mengukuhkan  ranjang
Musim lembu kerbau tumbang
Musim memukul kompang
Musim mengisi dulang
Musim mencongak hantaran wang

Musim mendirikan khemah
Musim menungku kawah
Musim menggiling rempah
Musim daging dilapah
Musim mengeratkan ukhuwah
Musim tok kadi mengakad nikah
Musim menempa sejarah

Musim mengorek wang simpanan
Musim menonjol ketampanan
Musim memapar  kejelitaan
Musim berikrar kesetiaan

Musim menyarung cincin di jari
Musim menyulam kasih  sejati
Musim cinta bersemi
Musim beromeo  dan berjuli
Musim menghias diri
Musim pelamin berseri
Musim menjadi raja sehari

Musim menunjuk bakat yang ada
Musim bujang dara bergurau senda
Musim memperaga busana
Musim salam bermakna
Musim menjamu selera

Musim teruna gelisah
Musim gadis resah
Musim suasana meriah
Musim berpenat lelah
Musim menguji ketabahan tuan rumah

Meraikan majlis perkahwinan seorang sahabat
Kampung Hilir Serian

7 November 2013

Monday, November 18, 2013

YOLANDA

YOLANDA

Apa sahaja namanya
Haiyan atau Yolanda
engkau adalah  utusan Yang maha Esa
memberi amaran kepada mereka
yang ingkar akan perintah-Nya
kerana mereka memusnahkan rumah-Nya

Takziah ke atas keluarga
Yaacob Macainas, Hakim Usman, Rajid Batalo
sesungguhnya kematian kalian
mempertahankan kesucian agama
      akan ditempatkan di makam istimewa

Kerana kedegilan
kerana keegoan
kerana kerakusan
tiada belas kasihan
tiada perikemanusiaan
tiada keprihatinan

Hukuman-Nya  segera
supaya mereka membuka mata
namun anggapan mereka
itu hanya  fenomena biasa
memang  musimnya tiba

Tiada timbul kesedaran
mereka tetap dengan keangkuhan
betapa dahsyatnya suatu tragedi
tiada terhitung korban yang ngeri

Bagi kami di sini
kami sudah hantar satu misi
itu sahaja yang dapat kami beri
betapa berat pandangan kami
tanggungan tuan kami simpati

SMK Serian
18 November 2013





TERMETERAILAH SUATU WAADAT

TERMETERAILAH SUATU WAADAT

Maka pinta Demang Lebar Daun
hendaknya anak cucu tuanku
tidak memalukan anak cucu patik
walau besar mana sekalipun dosanya

Sang Sapurba pula bertitah
hendaknya anak cucu rakyat jelata
taat setia kepada raja
walaupun ternyata kezalimannya

Dibalas pula Demang Lebar Daun
jika raja yang mengubahnya
rakyat juga akan mengubahnya

Bersetialah kedua-dua pihak
tiada kuasa yang boleh mengubahnya
melainkan kuasa Allah Subhana Wataala

Budak yang bijak menerima padahnya
akibat mengidam buah nangka
dihukum bunuh tanpa usul periksa
ketika dijulang Sultan menemui ajalnya 
dendam membara seorang Laksamana

Jelaslah, Raja yang banyak mengubahnya
todak menyerang Singapura
akibat dengki dan iri
banyak mengundang tragedi

Walaupun kesetiaannya hebat
Hang Tuah dihukum bunuh tanpa syarat
protes keterlaluan Hang Jebat
kemarahannya tanpa kompromi
umpama menconteng arang di muka sendiri
tercetus peristiwa ngeri
pertarungan dua sahabat sejati
memang sudah diduga
lalu menemui ajalnya

Zalimnya Sultan Mahmud di singgahsana
dendam kesumatnya yang membara
kerahan tenaga rakyat jelata
melayan nafsu berahi
ada hati meminang puteri
hal-ehwal pentadbiran negeri
tidak dipeduli
akhirnya Melaka ditawan Feringgi

Sesungguhnya, raja yang adil kasihnya biar berpada
jika zalim wajarkah rakyat derhaka?

SMK Serian 17 November 2013