Friday, March 30, 2012

Resah Setinggan


Tolonglah kami wahai Tuan Penguasa

Kami perlu ruang dan masa

cukuplah seminggu cuma

kami perlu cari tumpangan sementara


Harta kami bukannya ada

hanya ada set TV yang kurang warnanya

peti sejuk yang kurang dinginnya

mesin basuh yang kurang putarnya


YB dan menteri sudah kami jumpa

cuma kata mereka

sabarlah dulu

kami akan buat apa yang perlu

akan dibincang dalam mesyuarat

bersama ahli korporat


Lalu kata mereka lagi

ada syarikat luar negeri

mahu melabur wang berjuta

mahu membina kilang besi waja

anak-anak kita tumpang gembira

ada peluang dapat kerja


Esok datang jentolak raksasa

operasi perlu dibuat semerta

kalau tidak rugi wang berjuta

kemaslah apa yang ada

sedialah berpindah segera

kalau lewat musnahlah semua

Ilham:

Muhamad Amin

SMK Serian

31 Mac 2012



Bunga Putih Nan Sekuntum Ini

Sekuntum bunga putih

kutabur baja kasih

kusiram air budi

tumbuhnya semakin bersemi



Menghiasi taman indah berseri

indah harum mewangi

disinari suria pagi

semakin menambat hati



Bertambah indah berkembang

menjadi tarikan berjuta kumbang

puji dan puja aneka rupa

api lara kian membara



Kelopak kian mekar

daun kian segar

pengunjung kian sesak

riak kian memuncak



Detik waktu semakin cemburu

nafas sesak semakin sebu

si ayu semakin lesu

si kembang semakin layu



Mengapa kelopakmu sedemikian rupa?

siapa gerangan punya angkara?

inilah penangan si bedebah

manis mulut nafsu serakah



Zaman dunia tanpa sempadan ini

Peluang keemasan sentiasa dicari


Oleh:

Muhamad Amin

Pekarangan RTM Kuching

29 Mac 2012


Wednesday, March 28, 2012



Pejuang Kenyalang II

(al-Fatihah buat Rosli Dhoby, Morshidi Sidek, Awang Ramli dan Bujang Suntong)

Demi bangsa dan maruah

kalian berdiri gagah

di bawah panji-panji megah

dengan rumusan racun berbisa

rahang badek luas ternganga

sedia menusuk dada celaka


Si Duncan menerima padah

tanah merekah resah

bumi Sibu dilanda banjir merah

tragedi penuh berdarah


Ombak gelora yang melanda

bukan calang-calang bencana

tampuk koloni baru celik dari lena

telah sekian lama

khazanah bumi rakus diteroka

penduduk peribumi dikerah tenaga

dipaksa mengisi pundak durjana


Kalian bertindak nekad

sanggup menerima sebarang akibat

bicara mahkamah sekadar syarat

sudah lama tersemai dendam kesumat

bilik sempit pemutus kata

tali maut penamat bicara


Lafaz al-Fatihah kami sajikan

semangat patriotisime jadi kebanggaan

tercatat megah nama kalian

disulam segar di atas hamparan sutera

bersemadi di atas peterana mutiara


Satu pengorbanan penuh bererti

agenda direncana untuk mencapai kedaulatan hakiki

seruan buat semua generasi

perjuangan mereka pencetus motivasi kendiri

Ilham:

Muhamad Amin

29 Mac 2012

Monday, March 26, 2012


PANTAI PANDAN


Bait-bait puisi kuanyam mesra

sambil merenung jauh nun di sana

hamparan biru menjadi kelam

tampak berbalam-balam

seperti lambaian syahdu Pulau Burung

pukulan ombak tinggi menggunung


Bot nelayan pukat tunda

deruan enjin seolah-olah meratap hiba

meluncur longlai dan malas

tak kuasa mengharung alun ganas

jaring-jaring rezeki mengeluh duka

terpaksa akur amaran peronda setia

berehatlah hari ini

bala jangan dicari

anak isteri cemas menanti


Hadirku sekadar bersantai

menimba pengalaman di pantai

mencari manik-manik damai

melakar garis-garis ria

kucampak butir-butir gelora

kupadam titik-titik lara


Hari ini riak yang resah

esoknya mungkin tenang yang ramah


Ilham:

Muhamad Amin

Pantai Pandan

12 November 2011

PEJUANG KENYALANG

PEJUANG KENYALANG


Mereka catatkan namamu

pada sebuah buku

dengan bait-bait tanpa lagu

lalu terpahat kaku

pada tugu yang layu

dikelilingi tunggul-tunggul kelabu


Pada mereka kau adalah

segumpal darah bernanah

dengan titisan-titisan lendir

yang likat lagi hanyir


Bermula di Sungai Skrang

dengan misi menyerang

sejurus tusukan lembing Si Layang

nyawa Allan Lee ringan melayang


Royalist, Nemesis dan Ranee

angkuh dan bongkak merancang strategi

tiga ekspedisi disusun rapi

langkah pendekar disusun atur

namun, Bukit Sadok terpaksa akur

dengan bermaruah kau terus berundur


Kau idola kami

Teratakmu segar mewangi

gah namamu bersemadi

dalam bingkai terus bersemi


Bersama kuntum-kuntum berseri

Lalu diabadikan di galari hakiki

Anak-anak watan generasi merdeka

tiupkanlah semangat Rentap di seluruh jiwa raga

dengan laungan keramat megah bergema

lonjakkanlah transformasi negara


Ilham:

Muhamad Amin

SMK Serian

27 Mac 2012

Sunday, March 25, 2012

NAFAS SETINGGAN

NAFAS SETINGGAN

Suatu malam nan kelam

tiada kilauan lampu neon

ku selusuri denai dan lorong

hamis dan bacin menusup hidung

longgokan kantung-kantung hancing

berpesta riang sang anjing

Amat membingitkan deruan generator

dapat menikmati dinginnya air refrigerator

dapatlah menghayati rancangan ASTRO

terlepas rimas dek nyamannya pendingin udara

namun, tidurnya resah dibuai mimpi lara

Di ruang tamu anak-anak bersorak keriangan

lapar dahaga semua di atas meja sajian

dapat menghayati saluran kegemaran

namun, di luar sana semua dilanda keresahan

nafas sebu dek udara persekitaran

Kami bukan papa kedana

ruang tamu kami semuanya ada

setiap sudut aneka rupa

setakat vios atau camry

semuanya mampu kami miliki

cuma kerenah birokrasi

setiap borang lengkap diisi

namun, mereka hanya berperi

tunggu sain Pak Menteri

kini sibuk di luar negeri

Beginilah nasib kami

menumpang kasih di negeri sendiri

Ilham:

Muhamad Amin

25 Mac 2012

Friday, March 23, 2012

LAGENDA PENUH TRAGEDI

LAGENDA PENUH TRAGEDI

Datuk Temenggung Kadir tidurnya sendu
dari sebatang bambu
dibuat bantal pengganti baldu
menjelma telur sebiji
menetas seorang puteri
cantik rupanya menambat hati

Usia meningkat remaja
jadi rebutan para teruna
Abang Bunut sanjungan jiwa
namun berat sungguh syarat mas kahwinnya

Sekati emas jadi kekangan
hapuslah hajat membina masjid impian
jiwa merana penuh rawan
luluh hati bukan mainan

Dari Brunei hajatnya besar
saudagar kaya Nakhoda Kar
datang ke mari ingin melamar
lamaran diterima seadanya
sang Puteri akur berbaur duka
Abang Bunut penyinar cahaya

Dalam pelayaran Nakhoda Kar
rasa gundah menjadi gusar
pelayaran segera ditunda
Iblis laknatullah punya angkara
dalam tawa ria gigih menabur gula-gula lara

Lalu hilang pertimbangan
langkah akhir buat perhitungan
tiga jiwa menjadi korban

Dayang Isah Tandang Sari
khazanahnya masih tersembunyi
di sebalik tabir misteri
terokailah lagenda penuh tragedi ini
supaya seiring lagenda Mahsuri

Ilham:
Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
24 Mac 2012

Thursday, March 22, 2012

Tali-temali Ini

Tali-Temali ini

Ini tali-temali yang lurus

Dipintal oleh jari-jemari halus

Pengikat cinta yang tulus

Dua insan kasihnya kudus

Tali-temali ini

Daripada serat belati

Pengikat cinta abadi

Dari adunan dua hati

Tali lalu bergumpal berselirat

berselirat simpul semakin ketat

cuba merungkai yang serabut

namun bertambah kusut

Tangan-tangan ramah

Leraikan penuh berhemah

Elak sebarang prasangka resah

Kelak bertambah parah

Dengan iringan sejambak doa

Semoga damai sebuah sengkata

Muhamad Amin

SMK Serian

23 Mac 2012

Wednesday, March 21, 2012

ALBUM SEBUAH INI

ALBUM SEBUAH INI

Yang kutatap ialah

hamparan-hamparan indah

megah terselit dalam lipatan sejarah

Kusingkap pula

helaian-helaian cinta

bergemerlapan warna yang beraneka

Kulayari lagi

Gemersik ria irama melodi

merdu alunan menambat sanubari

kurenung seketika

ini wajah-wajah jenaka

penghibur ketika dilanda duka

Yang kuhapus kira

percikan-percikan darah lara

menghiris hati dirundung derita nestapa

Kusimpul album citra

Kulakri kemas dalam sampul setia

lalu kuabadikan ia di suatu sudut arkib senja

Muhamad Amin

SMK Serian

22 Mac 2012

SEBUAH CATATAN II

SEBUAH CATATAN II

Kutitip melalui layar jendela

diilham dari lipatan minda

dari nostalgia semalam

bersama kenangan silam

Kucatat dalam diari jingga

dipamer dalam galeri sutera

para pakar juri bijaksana

bersendi teori para sarjana

Lancar seperti direncana

tekun membuat analisa

tanpa prasangka

memartabatkan karya

diabadikan dalam arca

berbingkai saduran permata

Anugerah terpuji

perangsang motivasi

terima kasih para juri

Ilham:

Muhamad Amin

SMK Serian

20 MAC 2012

SEBUAH CATATAN

SEBUAH CATATAN


Kucatat sebuah nota kelabu

Disulam atas hamparan baldu

Sebuah memori biru

Bersama nostalgia ungu

Lalu kupamer di galeri perdana

Terpahat segar di dinding minda

Respon pelbagai sarjana

Lalu dibawa ke meja bulat

Cuba lerai maksud tersirat

Cuba capai kata sepakat

Temanya mudah saja

Tafsirannya aneka rupa

Catatan

Muhamad Amin

SMK Serian

19 Mac 2012

MAAFKAN MAMA, DIRANG

MAAFKAN MAMA, DIRANG

Usah diganggu mama

Punggung dah berakar di kerusi maya

awak kepingin nak makan mee segera

kedainya sepelaung saja

pergilah sendiri

belajarlah berdikari

Arahan mama dipatuhi

Kegirangan dia berlari-lari

lima ringgit erat dalam genggaman

selesai segala urusan

pulangnya resah

Jembalang ganas meratah

Lalu diheret entah ke mana

Gundahnya mama dan papa

Ditunggu tak kunjung tiba

Buat laporan segera

Cemas dirundung duka

Siang jadi igauan luka

Malam hening diganggu mimpi hiba

Rentung meragut maut

Ujian DNA melerai yang kusut

Jenazah dicam pemutus yang serabut

Nafas yang sesak

Dada robek yang rabak

Petualang-petualang yang celaka

Muka pengadilan pemutus kata

Ke tali maut penamat bicara

Duhai Dirang yang dikasihi

Kami relakan dikau pergi

Lafaz Al-fatihah pengiring doa

Semoga aman di alam baqa

KARYA:

MUHAMAD AMIN

SMK Serian

16 Mac 2012

BEGINILAH NASIBKU

BEGINILAH NASIBKU

Dulu tidurku di atas hangat tilam cinta

dibina pangkin direntang kasa yang renta

menunya nasi berulam keropok tuna

suamnya air ditapis manja

dihidang mesra dalam bejana

Aku selalu dijulang dipuji

kerana kecekapanku mengejar pencuri

yang menerobos kawat berduri

ketika majikanku diulit mimpi

Aku selalu disanjung dipuja

sering diajak berburu di rimba perkasa

bijak menjejak langkah fauna

rusa pelanduk landak berduri

semuanya tersungkur menyerah diri

Khilafku sedikit cuma

akibat mencuri sekeping roti perata

membunuh seekor ayam belanda

lantas aku dicaci dinista

bergegarlah teratak hiba

merataplah pangkin setia

aku diusir penuh hina

Dari lorong-lorong lara

merentas hamis longkang nestapa

merobek rakus kantung-kantung duka

di situlah aku diserkap ditawan

kononnya akulah haiwan menjijikkan

akulah pencemar persekitaran

Beginilah malang nasibku yang menimpa

ada kalanya manusia lupa membalas jasa.

SMK Serian

18 Mac 2012

Friday, March 16, 2012

SYUKURLAH MISI TERTUNDA

SYKURLAH MISI TERTUNDA

Sebuah pesawat tentera

Tiba-tiba menunda penerbangannya

Mekanik jurutera dikerah semerta

Saluran minyak gagal berfungsi

Lalu tergendala segala operasi

Mengucap syukur pada Ilahi

Atas kerosakan yang dialami

Jika tidak pasti ia terbang tinggi

Sedia muntahkan peluru-peluru lara

Merobohkan tembok-tembok sengsara

Menembusi dada-dada nestapa

Syukurlah ke hadrat yang Esa

Misi laknat tertangguh seketika

Jangan sia-siakan peluang ternganga

Ayuh selamatkan dirimu

Cari rekahan-rekahan batu kelabu

Di sebalik tabir-tabir ungu

Segalanya pulih sediakala

Misi operasi lancar semula

Ngauman menderu ke udara

Bergururan butir-butir durjana

Diselangi dentuman-dentuman membingit telinga

Namun, mengapa tiada raungan

Mengapa tiada tangisan

Banjir merah tiada mengalir

Tiada bau hanyir

Ini bencacna buatan manusiawi

Tidak standing bencana Ilahi

Muhd amin

Smk serian

17 Mac 2012

Tuesday, March 13, 2012


INILAH TINGGALAN PENJAJAH

Inilah tinggalan penjajah

tercatat dalam lipatan sejarah

kononnya menjana ekonomi peribumi

tapi sebenarnya mengisi kantung sendiri

Mulut manis berbicara

menjajah bukan niatnya

rakyat hanya angguk kepala

konon katanya

negeri ini masih belantara

khazanahnya perlu diteroka

perutnya berkilau emas permata

setelah dikaut segala perut bumi

kubu-kubu pula gagah berdiri

konon mengintip sebarang pengacau

semangat waja jiwa Sang Libau

gagah berani tak lut dek senjata

kalau baju hanya selapis dua

usah rapat usah dicuba

bala jangan dicari

kelak tersembam menyembah bumi

Rakyat marhaen tenaga mereka dikerah

menjejak musuh ke gunung dan lurah

ada juga yang belot menderhaka

konon perjuangan adalah sia-sia

Setelah kantung penuh berisi

Bercita-cita pula mentadbir negeri

Cuba memujuk pembesar negeri

Supaya menyerah meja kerusi

Hasil mahsul menipis setelah dikaut digerudi

dana mentadbir semakin kempislah kini

tiba masanya menyerah

menyerah secara bermaruah

dengan penuh berhemah tinggi

Suruhanjaya Cobbold menawar diri

setelah rundingan sepakat

Terbentuklah Malaysia berdaulat

Ihlam: Muhd Amin

SMK Serian

12 MAC 2012