Wednesday, June 6, 2012


Memori Lesung Batu

Lesung batu itu
adalah pusaka  ibuku
asalnya dari teratak usang desa tradisi
sejak turun-temurun menabur  bakti
ramuan  berperisa memikat selera
adunan belacan, bawang dan pedas berempah
lalu ditumbuk penuh bertingkah
jadilah sambal dicolek lentik jari
diseri ulam-ulaman  aneka nikmat
pahit,  masam dan kelat

Lesung batu itu kini
tersimpan kemas di sebuah almari
di ruang tamu rumahku
setelah kududuk di kota raya di  taman  perumahan  baru
lalu kubawa  ia bersamaku
tanpa disedari ibuku

Dapur rumahku kini
Seiring  arus modernisasi
mesin pengisar canggih jadi pengganti
segalanya mahu ringkas dan pantas
nyata berkesan menggalas tugas
sekelip mata urusan tuntas

Bertandang ibuku dari desa resah
lalu memasak segala perencah
sambal ditumbuk mengikut kemahirannya
terhidang makanan istimewa
anak-anak kami yang rindu juadah nendanya
semua menikmati penuh selera

Isteriku balik dari kerja
matanya tertumpu pada sudut sana
pintu almari kaca luas ternganga
luluh hati melihatnya
bingkai lesung batu telah tiada

“Ibu, kan mesin ada?
ibu tahu berapa harga bingkainya?”
Isteri spontan menyinga
dek kerana lesung batu
terguris hati ibu

Kini ibu sudah tiada
kembali mengadap Allah Azza Wajalla
seribu sesalan tidak terkira
lesung batu bersemadi di sudut belakang sana
tanpa sesiapa menghiraukannya
sambal belacan hilang aromanya.

Ilham:
Muhamad Amin
Kpg Parit Sempadan,
Batu Pahat Johor
6 Jun 2012