Friday, December 27, 2013

SEBUAH PENDAKIAN

SEBUAH PENDAKIAN

Inginku daki gunung harapan
di sepanjang perjalanan 
kulalui hamparan cabaran
ingin kutabur benih kecekalan
kelak akan bercambah putik ketabahan
helaian daun lebar jadi naungan
kuntuman bunga penyeri pandangan
buah yang manis buat hidangan
titisan air memulih kedahagaan
meneruskan pengembaraan
walaupun penuh kepayahan
kutempuh sebarang halangan
kutahu itu hanya dugaan
sabar menghadapi ujian
sesampai ke puncak impian
lalu kukutip geliga kejayaan
akan kembali bersama kegemilangan
syukur atas petunjuk yang Engkau berikan

Di kaki Gunung Matang
Politeknik Kuching
27 Disember 2013

USAHA MENJANA MINDA

USAHA MENJANA MINDA

Dingin udara
hening suasana
kodok riang  berpesta
mengetuk papan aksara
cuba menjana idea
tak kunjung tiba
terusik minda
tiada upaya

Pelbagai khazanah kugali
kuselongkar gerobok dan laci
merata ceruk kucari
menjana ilham bestari
namun, semakin menyepi

Titisan semakin lebat
langkah semakin berat
mata semakin kelat
talian semakin lambat
penanda kursor semakin ligat
elok kututup rapat
ini sahajalah yang dapat dicatat

Tidak putus asa
memburu kata pujangga
semoga dapat petunjuk-Nya
untuk terus berkarya.

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
28 Disember 2013














Thursday, December 26, 2013

ERTI SEBUAH CINTA

ERTI SEBUAH CINTA

Cinta adalah keabadian 
terindah yang pernah dialami
sesiapapun boleh menghayatinya
namun, tiada siapapun boleh menilainya
ia bukan maujud
dinyatakan melalui hati
ditafsirkan melalui perasaan

Mencintai dan dicintai
hakikat Adam dan Hawa
berlandaskan kesederhanaan
perlukan pengorbanan
menagih kesabaran
menuntut ketabahan
bukan dengan paksaan
adunan kasih dan sayang
hamparan dada yang lapang
kikis rasa cemburu
lontar hawa dan nafsu

Para bijak pandai pernah berkata:
mencintai harta paparan kebakhilan
mencintai gadis atau peria naluri setiap insan
mencintai diri cerminan kehidupan
mencintai Tuhan menjana ketakwaan
itulah cinta yang maha agung

Muhamad Amin bin Bacho,
SMK Serian
27 Disember 2013

Wednesday, December 25, 2013

DAHSYATNYA KEBAKARAN

DAHSYATNYA KEBAKARAN

Api ganas meratah
sebuah kondominium pasrah
penghuni tingkat 10 resah
dalam suasana yang amat gawat
menuruni tangga hayat
terasa amat gayat
yang penting diri selamat

Di lokasi penuh padat
masing-masing ingin melihat
bergerak pantas pasukan terlibat
peralatan canggih dimanfaat

Dalam suasana  penuh kecemasan
terdengar suara tangisan
seorang bayi ketinggalan
usaha menyelamat dijalankan

Bayi didokong erat
tugasan lain perlu dibuat
di mana bayi harus diletak?

Muncul seorang penjaga gawang
begitu cekap beraksi di padang
jarang bolos di arena kebangsaan
niatnya ikhlas memberi bantuan
hadirin bersorak keriangan
“Tangkap segera”
sungguh bangga rasanya
seolah-olah yang digenggam itu bola
terus ditendangnya semula


Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
26 Disember 2013














Tuesday, December 24, 2013

MERACUN UDARA

MERACUN UDARA

Kereta sewa terus meluru
menderu meluncur laju
diam membisu
lidah jadi kelu
dengkurnya sendu
mimpinya sayu

Angkara siapa
suatu tanda tanya
semua menahan rasa
hembusan pendingin udara
semakin gawat  suasana

Senyum keramahan
“Ke mana gerangan?”
“Kami ke Jalan Pesiaran.
di hadapan Wisma Impian.”

Sampai ke destinasi  yang dituju
terus membuka pintu
wang diserah  satu persatu
pemandu ingin tahu
secara spontan dia bertanya
“Yang buang angin sudah bayar wangnya?”
“Sudah” ,  katanya
tahulah siapa orangnya

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
25 Disember 2015




ANTARA JAMBATAN DENGAN SUNGAI

ANTARA JAMBATAN DENGAN SUNGAI

Akulah  jambatan engkaulah  sungai
antara kita saling melengkapi
engkau semakin melebar aku  semakin memanjang
arusmu deras tiangku goyang
arusmu perlahan tiangku tenang
parasmu rendah fikiranku gundah
parasmu tinggi aku semakin resah

Saban hari aku menjadi laluan
daripada warga marhaen
hingga ke tokoh negarawan
saban hari juga engkau diterokai
para nelayan mengaut rezeki
buat menyara anak isteri

Terjahan tayar beratmenyebukan perutku
buangan kilang yang pekat menyesakkan dadamu
plaza tol dibina sebagai nilai tambah
setiap pemandu ditegas supaya berhemah
khidmat penguatkuasa pula dikerah
memantau merata pembuangan sampah

Inilah sumbangan bakti
pengorbanan yang murni
industri pelancongan
atas nama pembangunan
mencapai matlamat wawasan


SMK SERIAN
25 Disember 2013


Monday, December 23, 2013

MEMINTAL KASIH

MEMINTAL KASIH

Aku perlukan masa
untuk memintal kasih  asmara
kerana kau masih berada
di sebalik tembok perkasa
kita masih dipagari
kawat berduri
ini bukan suatu halangan
bukan juga suatu penderaan
cuma satu  langkah waspada
syaitan laknatullah
giat menabur pesona
jika terminum air gulanya
akan terhumban ke gaung lara
siksa menanggung derita

Menerap kesabaran
memintal kasih  berhemah
disiram baja ketimuran
mengikis budaya celaru
memohon reda dan restu
limpah kurnia-Nya
kekal  sepanjang hayat.

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
23 Disember 2013








Thursday, December 19, 2013

PUNCAK

PUNCAK

Tinggi di angkasa
diliputi awan mega
tampak samar sahaja
tidak tergapai  tangan kita

Sesiapapun pasti menyimpan angan
cuma kudrat jadi sandaran
ditambah semangat yang cekal
dengan jiwa yang kental

Bukan mudah ke sana
sesiapa yang punya cita
perlu tajam mata penanya
jangan kering tintanya
jangan kabur notanya

Emas bukan ukuran
dinar bukan taruhan
ada khazanah negara
sentiasa terbuka pintunya
pastikan obor menyala
sampai ke destinasinya
jalannya sentiasa bersinar cahaya.

SMK Serian
19 Disember 2013




Wednesday, December 18, 2013

DONDANG BERDENDANG II

DONDANG BERDENDANG II

Dondang berdendang
merdu nyanyiannya
rancak iramanya
santun tarinya
seni latarnya

Dondang asyik   berdendang
pentasnya rendah
tiangnya rebah
lantainya goyah
dindingnya patah

Dondang terus berdendang
persembahannya resah
penarinya lelah
penyanyinya gundah
penontonnya gelisah

Dondang masih  berdendang
malam semakin tua
embun dingin semakin terasa
Pak Ngah masih berpesta
Mak Ngah  sudah lena

Dondang hentilah berdendang
adik menyusu sudah kenyang
nyamuk  dan agas sudah terbang
sebentar lagi hari siang
lelap sebentar sebelum sembahyang

SMK Serian
18 Disember 2013






Tuesday, December 17, 2013

TETAMU PAGI

TETAMU PAGI

Selesai Subuh dikunjungi  tetamu pagi
dari mana asalnya tidak kuketahui
riak wajahnya  yang berseri
kusambut penuh  pekerti
sudi menjejak kaki
mulianya budi

lantas kutanya
gerangan hajatnya
senyum  penuh mesra
bersamanya  kitab pendeta
diletak satu persatu di atas meja
kutitip sebuah kitab warna biru tua

Kubaca kandungannya berkali-kali
banyaknya  nukilan menarik hati
timbul minat untuk membeli
lalu dihadiah sepenuh  hati
kutanya kenapa  begini
ikhlas memberi puji

Aku jadi  kehairanan
lalu lenyap dari pandangan
tanpa  sempat memberi  ucapan
di sana kabus tebal menutup jalanan
ruang tamu rumahku semerbak bau haruman
halusinasi pada dingin pagi yang sukar kulupakan

Serian
26 November 2013



                                              

TERMETERAILH SUATU WAADAT

TERMETERAILH SUATU  WAADAT

Maka pinta Demang Lebar Daun
hendaknya anak cucu tuanku
tidak memalukan anak cucu patik
walau besar mana sekalipun dosanya

Sang Sapurba pula bertitah
hendaknya anak cucu rakyat jelata
taat setia kepada raja
walaupun ternyata kezalimannya

Dibalas pula Demang Lebar Daun
jika raja yang mengubahnya
rakyat juga akan mengubahnya

Bersetialah kedua-dua pihak
iada kuasa yang boleh mengubahnya
melainkan kuasa Allah Subhana Wataala

Budak yang bijak menerima padahnya
akibat mengidam buah nangka
dihukum bunuh tanpa usul periksa
ketika dijulang Sultan menemui ajalnya
dendam membara seorang Laksamana

Jelaslah, Raja yang banyak mengubahnya
todak menyerang Singapura
akibat dengki dan iri
banyak mengundang tragedi

Walaupun kesetiaannya hebat
Hang Tuah dihukum bunuh tanpa syarat
protes keterlaluan Hang Jebat
kemarahannya tanpa kompromi
umpama menconteng arang di muka sendiri
tercetus peristiwa ngeri
pertarungan dua sahabat sejati
memang sudah diduga
lalu menemui ajalnya

Zalimnya Sultan Mahmud di singgahsana
dendam kesumatnya  yang membara
kerahan tenaga rakyat jelata
melayan nafsu berahi
ada hati meminang puteri
hal-ehwal pentadbiran negeri
tidak dipeduli
akhirnya Melaka ditawan Feringgi

Sesungguhnya, raja yang adil kasihnya biar berpada
jika zalim wajarkah rakyat derhaka?

SMK Serian 17 November 2013




SEBUAH SKETSA

SEBUAH SKETSA

Persembahan sketsa
di pentas  maya
tanpa kru produksinya
penontonnya merata

Temanya dakwah
wataknya tabah
latarnya indah
Plotnya kronologi
puncaknya tragedi
akhirnya kembali

Satu purnama
mengadun  idea
mengasah minda
memacu tenaga
hasilnya nyata
liputan perdana

Alhamdulillah diucapkan
penulis picisan
mendapat pengiktirafan
usaha diteruskan
agar bertambah mapan

SMK Serian
30 November 2013





SATU TRANSFORMSI

SATU TRANSFORMSI

Menunya lazat
rasanya   nikmat
kurang  berkhasiat
kurang  berzat
minyaknya pekat
riadahnya singkat
bangunnya lewat
galak menyedut asap likat
saiz meningkat
bertambah padat
bertambah bulat
sihat tak sihat

Yang kempis diisi
yang berisi jangan tambah lagi
elak dilanda obesiti
yang bertambah biar dikurangkan
yang bulat dileperkan
yang padat dijarangkan
yang pekat dicairkan
yang ketat dilonggarkan
yang menyedut cuba tinggalkan
elak kekenyangan
rajin turun ke gelanggang
penuhi masa lapang

Jangan biarkan
nafas jadi sesak
kaki jadi bengkak
pergerakan terhad
paras gula naik
mata jadi rabun
nadi jadi cepat
pelbagai keluhan
pelbagai rintihan

Ini satu transformasi
jaga kesihatan diri
bersama realisasikan
jana pembangunan
menjelang 2020 capai  wawasan

SMK Serian
9 Disember 2013