Wednesday, July 31, 2013

NIKMATNYA LEBARAN

NIKMATNYA LEBARAN

Menanti saat  ketibaannya
keheningan pagi yang ceria
selepas menunai kewajipan fitrah
lalu bertakbir memuji kebesaran Allah
solat sunat dua rakaat  penuh berkat
setelah berjaya meniti jambatan matlamat
lapar dan dahaga yang nikmat
mengunci pintu  maksiat

Umpama pahlawan dari medan peperangan
menjulang senjata iman
gembira menyambut hari kemenangan
berduyun-duyun  menuju rumah ketakwaan
menyarung busana aneka warna
wangian kasturi penuh aura dan aroma

Bertandang ziarah handai dan taulan
rangkuman  erat tanda keakraban
tangan dihulur memohon kemaafan
ramah mengucap selamat hari lebaran
tanda syukur atas kejayaan

Di atas meja terhidang aneka juadah
menunggu masa untuk dijamah
ketupat dan lemang
lazatnya sate dan rendang
wajik, dodol dan bahulu jadi pilihan
resipi tradisi zaman-berzaman

Dalam saat-saat gembira
fakir miskin tetap agenda utama
wang zakat dan sedekah jariah
rezeki yang melimpah
agar mereka sama merasa
kemeriahan hari yang mulia

Mereka yang menempah tragedi
putus jari tangan dan kaki
cuba muhasabah diri
meterai ikrar akujanji
usah ulangi  drama luka
menjadi trauma sepanjang masa

Sempena Aidil Fitri
mohon doa pada Ilahi
semoga panjang umur murah rezeki
tahun hadapan bersua lagi


Muhamad Amin bin Bacho                                                         
SMK Serian
31 Julai 2013


Monday, July 29, 2013

SAAT PERPISAHAN SEMAKIN HAMPIR

SAAT PERPISAHAN  SEMAKIN HAMPIR

Kekasih hati bakal meninggalkan kita
bersama segunung cita
selaut cinta kasih dan sayang

Kini jasadku
telah diselimuti helaian-helaian pahala
terasa bening keheningannya

Kini kalbuku
telah ditiup hembusan wangian narwastu
sungguh  harum baunya

Kini rohku
telah meresap bongkah-bongkah iman
menambah keyakinan

Kini batinku
telah terisi  ruang-ruang yang kosong
dengan kuntuman   bunga takwa

Kini jiwaku
telah meresap titisan-titisan keinsafan
mencuci titik-titik khilaf dan silap

Kemuliaan malam-malam yang masih berbaki
dengan limpahan cahaya khusyuk
kulipatgandakan amalan
menanti saat-saat hadirnya malam yang mulia
malam Lailatul Qadar
terasa hembusan angin  nikmatnya

Selamat tinggal Ramadan
dengan rasa sebak di dada
kurela akan pemergianmu
kupanjat doa restu
agar dipanjangkan usia
dapat menerima kunjunganmu
pada tahun-tahun  mendatang
membawa bersama limpahan ganjaran
yang telah dijanjikan  oleh Allah

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian

30 Julai 2013








DAUN KETUPAT SEMAKIN LAYU

DAUN KETUPAT SEMAKIN LAYU

Cerita nenek moyang dahulu kala
gadis-gadis pingitan  di desa
lentik jari-jemari mereka
menganyam helaian-helaian pelbagai rupa
tercipta bentuk-bentuk menawan
      lalu menjadi sarung idaman

Kini, daun nipah kian pudar warnanya
daun kelapa kian longlai lambaiannya
daun palas  kian tumpul durinya
peranannya kian dilupakan
kian pupus ditelan zaman

Bukan tiada yang mewarisi
tapi,  zaman moden kini
segalanya perlu pantas
bergerak umpama lipas
ketupat Adabi dan Nona
mudah didapat di Mall dan pasar raya

Berbungkus plastik dikokot  rapi
beras perasa  pandan wangi
direbus pantas jimatkan  masa
jadilah ketupat segera
kuah sate menambah perisa
dari tin terkurung sekian lama
kurang aroma menghambat selera

Usaha mengekal tradisi anyaman
agar daun ketupat segar sepanjang zaman


Muhamad Amin bin Bacho
Bazar Ramadan Kota Sentosa

30 Julai 2013



Sunday, July 28, 2013

MONOLOG DI HENTIAN INI

     MONOLOG DI HENTIAN INI

Kududuk jauh di hujung sekali
melayan sekeping hati nan sunyi
sambil menghirup lembaran  mimpi
bersama kehangatan secawan kopi
asam pedas dengan lazatnya resipi tradisi
mata melontar jauh menerjah alam fantasi

Lukisan alam  penuh warna
terhampar luas merentas pantai nyata
nelayan gigih menjaring  pukat tunda
jauh merentas  alun dan ombak Selat Melaka
seisi  keluarga menanti kepulangannya

Pandangan terus merentas jauh ke tengah segara
putih jernih biasan air bak sinaran permata
camar riang berterbangan di angkasa
ingin kukhabarkan berita kepadanya
tentang citra Tengku Mahkota
mencemar duli di teratak rakyat jelata

Parit Simen nama asalnya
pentas kera dan lotong berpesta
asalnya pangkalan para nelayan
tempat melabuh hasil tangkapan
kini medan pelbagai agenda   tahunan
para gerabak berlumba menguji kelajuan

Sudah diwarta dalam destinasi pelancongan
gah bersaing menempa nama


Ilham:
Muhamad Amin bin Bacho’
Hentian Mahkota, Parit Simen
Batu Pahat Johor Darul Takzim

5 Jun 2013












Saturday, July 27, 2013

FENOMENA

FENOMENA

Tiupan angin di hati
menyentap nurani
lalu menjadi mimpi ngeri

Titisan  hujan  syahdu
merembes dataran kalbu
lalu meresap hamparan baldu

Desiran ombak sukma
menghempas pantai derita
lalu pecah  busa yang lara

Gegaran  gempa di dada
sungguh cemas terasa
lalu kelu lidah untuk berkata

Dentuman guruh di cuping derita
sungguh membingit telinga
lalu payah mula bicara

Banjir bergenang di mata
mengalir lumpur merata
lalu mendap di muara

Terbit mentari yang ramah
sinarnya cerah
sirna bayang yang resah

Fenomena yang melanda
datang tiba-tiba
tiada siapa menduga
mungkin suatu musibah
atau mungkin tersirat  hikmah
kita hadapi dengan tabah dan pasrah
kesemuanya takdir yang Maha Esa
      hanya doa dan usaha
semoga terhindar dari mala petaka



Muhamad Amin
SMK Serian
27 Julai 2013






Friday, July 26, 2013

DIALAH IDAMANKU

DIALAH IDAMANKU

Kata nafsu
cantiknya pada tubuh gebu
mata memandang tanpa jemu

Kata cendekia
cantuknya pada ilmu di dada
cerdik akal bijak merencana

Kata ulama
cantiknya  pada akhlaknya
sopan santun  pekerti mulia

Kata sang pendeta
cantiknya pada tingkahnya
sungguh memikat jiwa

Kata teruna
cantiknya pada  lirik mata
sungguh mempesona

kata rakan seangkatan
cantiknya sukar dinyatakan
masing-masing punya pandangan

Kata sang suami
cantiknya terletak pada hati
yang sukar dimengerti

Namun, kata Rasulullah Junjungan kita
kahwini dia   kerana empat perkara
kerana cantik parasnya
kerana banyak hartanya
kerana mulia keturunnnya
kerana agama dan takwanya
yang keempat itulah idaman  utama


Muhamad Amin
SMK Serian
27 Julai 2013





Tuesday, July 23, 2013

KAMPUNGKU KINI

KAMPUNGKU KINI

Bertahun-tahun di perantauan
meninggalkan kampung halaman
cerita lama menggamit kenangan

Lalu di atas permatang
di sekelilingnya sawah bendang
tanaman  padi menghijau daunnya
melambai mesra lalu menyapa
tunduk menguning buahnya
merendah diri gerak lakunya
ciak dan pipit ria sekali
berselera memagut rezeki

Tenang air di kali
ikan puyu sepat dan keli
gulai lemak cili api
menanti juadah tengah hari

Sesekali datang bertandang
mata melilau mencari-cari
mana jalan permatang?
mana sawah padi?
mana orang-orang?
mana pinggir kali?

Tiada lagi teruna   membanting
tiada lagi gadis mengemping
tiada lagi bunyi seruling jerami
tiada lagi sepat dan keli

Yang ada cuma kedai tiga tingkat
teres dan bungalo  penentu darjat
cineplex dan kafe maya
anak-anak  menghabiskan duit belanja
ayam Kentucky enak dan lazat
ayam kampung semakin liat

Atas nama pembangunan pesat
rakyat menghuni perumahan padat
tanah leluhur bertukar  nama
betulkah nikmat sama dirasa?


Restoran KFC  Serian

24 Julai 2013



TIRAI MALAM

TIRAI MALAM

Di hulu langit kelam
Awan berarak  suram
sepoinya tiupan angin
menusuk tubuh dingin

Seloka cengkerik  kian mendayu
puisi  sang kodok menusuk kalbu
suara pungguk kian hiba
kekasih hati tak kunjung tiba

Di hilir sana lain suasana
riuh bermandi cahaya
malam semakin tua
hati semakin muda

Deruan meraung  membingit telinga
sesak nafas sebak dada
di bilik samar-samar
urus niaga tawar-menawar
alunan cakera padat menggegar dinding kalbu
anak-anak ayam keciciran  mencari ibu

Di sini  tirai malamnya lapang
dengkurnya senang
diulit mimpi tenang
di sana tirai malamnya parah
dengkurnya resah
diulit mimpi berdarah


SMK Serian
23 Julai 2013










Sunday, July 21, 2013

MEMO KHAS BUAT GENERASI BARU

MEMO KHAS BUAT GENERASI BARU

Generasi alaf baru
mungkin kalian belum tahu
mekar dan segar dalam catatan
hanya jarang jadi bicara wara
mungkin terlepas pandang dalam agenda perdana

22 julai 1963 menjadi penentu
Alexander Wadell melangkah lesu
terbentuknya kabinet baru
pendukung sepenuhnya warga tempatan
penerajunya Apai Kalong Ningkan
dengan lima lagi  tokoh harapan
James Wong Kim Min menjadi timbalan
Taib Mahmud Dunstant Endawi
Teo kui Seng dan Awang Hipni
bumi bertuah bermandi  cahaya
berkilau  merentasi jagat raya

Titik mulanya kebebasan bergaya  
bebas dari belenggu penjajah durjana
menuju bangsa merdeka
demi kelangsungan wawasan  negara


SMK Serian

21 Julai 2013

Saturday, July 20, 2013

PERCIKAN DARAH PERWIRA NEGARA

PERCIKAN DARAH  PERWIRA NEGARA                 

Hamparan yang luas ini
dari Sebatek ke Langkawi
adalah pusaka moyang kita
cucu piut diamanah mengatur rencana
menggalas tugas tanpa prasangka
kerana mereka telah memerah tenaga
maka lahirlah sebuah  negara bangsa
tanpa darah merah mengulit  mimpi ngeri
hanya rundingan berdiplomasi

Petualang-petualang durjana
gigih memalit nanah dan noda
resah dan gundah anak-anak watan
bukan calang-calang pengorbanan
demi maruah dan kedaulatan
benteng kukuh kubu perkasa
perisainya besi waja
berteras peluru dan senjata

Sesekali bumi leluhur merekah lelah
darahnya tumpah
gugur dan rebah
bukan korban  kecundang
hanya korban yang malang
percikan darah perwira negara
akan mengharum di teratak bangsa
luahan bunga simpati
layu di persada pertiwi
renjisan mewangi  kasturi
pusaramu akan dihiasi
catatan indah  puisi
terpahat teguh kalimah suci

Kepada bakal  pahlawan nusa
jauhi segala bimbang dan curiga
yang bersarang di jiwa
begitu besar khidmat dicurah
bukan mengejar segala anugerah
kerana ia hanya nilai tambah
yang melunas penat dan lelah
yang penting  ikhlas dan setia      
kepada negara tercinta
mohon restu Yang Maha Esa

Kem Penrissen Kuching
19 Julai 2013


ISTIMEWANYA MALAM 27

ISTIMEWANYA MALAM 27

Suasana malam
gelap dan kelam
panjut buluh di reka
pemberi cahaya
menghambat bahaya
kisah zaman silam penuh nostalgia
amalan tradisi setiap kampung dan desa
sememangnya sudah  tersurat
dicatat dalam riwayat
sesiapa yang membawa cahaya
akan diterangi kuburnya

Kanak-kanak bersorak gembira
percikan bunga api pelbagai warna
dentuman bedil menggamit suasana
surau dan masjid meriah ceria
suara qari mendayu-dayu
lafaz ayat-ayat suci sungguh merdu
dalam irama penuh menusuk kalbu

Istimewanya  malam yang  tiada tandingan
detik keemasan  setiap  individu  beriman
mereka  bertasbih  merebut syurga
yang dijanjikan oleh-Nya
Malaikat Jibrail menebarkan  sayap hikmahnya
turun ke bumi mengaminkan doa
setiap muslim yang khusyuk   bertakwa

Saat bila datangnya
tiada siapa dapat menduga
bermunajat berterusan  sepenuh jiwa
semoga mendapat  hidayah daripada-Nya

Masjid Jamek  Petra Jaya,  Kuching

20 Julai 2013