Thursday, February 27, 2014

SIPUT

SIPUT


Sering dijadikan perbandingan
untuk setiap pergerakan yang perlahan
lambatnya siap
berlengah-lengah
bertangguh-tangguh
pihak lain tertunggu-tunggu
orang sudah jauh ke hadapan
engkau masih merangkak
serupalah macam dia

Cengkerangnya yang keras
lendir yang likat
menjadi pelindung serangan musuh
musim yang dingin yang beku 
tidur memanjang di dalam rumahnya

Acara lumba menguji kejaguhan
angkuh di pihak lawan 
maruah tercabar
menguji kecederasan akal
mengatasi kekuatan fizikal 
bijak mengatur strategi
sehingga tewas sang arnab

Siput sedut paling popular
menu eksotik di premis ulung
lazat aneka khasiat 
sumber protin rendah lemak
kaya dengan Omega-3
vitamin E dan C

Koyong namanya di Sarawak
sebuah bandar di Perak
seorang primadona terkenal
sejenis kuih yang rangup
namun, Siput Babi jelik disebut dan didengar

Ubah persepsi negatif
sebagai iktibar
lambat berpada-pada
tangkas mengelak bahaya
malang jangan dicari

Setiap makhluk ciptaan Tuhan 
ada peranan tersendiri
pasti ada hikmah yang tersurat dan tersirat

Muhamad Amin bin Bacho
SMKSerian
28 Februari 2014

Sunday, February 23, 2014

INDAHNYA CUTI

INDAHNYA BERCUTI       

Destinasinya biasa sahaja
bukanlah resort ternama
yang menjadi fokus  antarabangsa
pengunjungnya rakyat jelata
paling murah belanjanya

Tampak ceria mereka bertiga
duduk  di bawah  pohon cemara
lalu mencedok pasir dibuat istana
juadah istimewa  kita nikmati
lazatnya air tangan sendiri
hembusan bayu pagi nyaman terasa
sesekali riang berlari ke sana ke mari
ketawa bersorak bertambah seri
sebelum senja baliklah kami

Adik manja sibuk bertanya
“Abah, kenapa kita tidak ke sana?”
indahnya suasana inap desa
boleh kita tinggal semalam
menghayati keindahan alam

“Along masih di luar negara
nanti kita susun rencana
kita tempah semalam dua
doalah semoga sihat semua”

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
23 Februari 2014




Saturday, February 15, 2014

KELUD NAN KALUT

KELUD NAN KALUT

Tinggi menggapai angkasa
tersembul asap mengadun gelora
ganas menjadi garang
debu-debu hangat terbang
rimas datang menyerang

Gunung tampak bersedih
langit kelam merintih
awan berarak bersimpul duka
kawah memuntahkan laharnya

Penghuni lereng usah selesa
padah  jika leka
ayuh gerakkan langkah segera
gawat menempa kalut
kalut  mengundang taku
takut dikejar maut
meratap Gunung Kelud

Ini satu fenomena
bencana menimpa
kurangkan beban derita
bertasbih dan berdoa
kuasa Yang Maha Esa

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian

15 Februari 2014

LUPA

LUPA
Satu anugerah Tuhan
andainya semua dalam ingatan
tentu jadi igauan

Masa muda remaja
seorang ayah
berbasikal sana berbasikal sini
mujur sudah lupa
lalu dimarah anaknya
naik motorsikal macam pelesit

Masa dara pingitan
seorang ibu
suka tulis surat cinta
mujur sudah lupa
lalu dimarah anaknya
yang  main Fb dan SMS sepanjang masa

Masa sekolah
seorang guru veteran
selalu tidak buat kerja rumah
mujur sudah lupa
lalu dimarah anak muridnya
tidak hantar tugasan yang diberi

Masa melahirkan anak pertama
betapa sakit terasa
hidup bertarung nyawa
mujur sudah lupa
kini mengandung semula
menunggu kelahiran anak kedua

Masa kempen
seorang  calon yang bertanding
buat manifesto  memikat pengundi
tapi YB buat-buat lupa
sudah menang pilihan raya
mana janji kepada rakyat jelata?

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Seria
15 Februari 2014






Saturday, February 8, 2014

DUIT-DAPATKAN YANG BERKAT

DUIT-DAPATKAN YANG BERKAT

Doa yang diberkati
Usaha yang gigih
Iman yang kukuh
Tawakal ke jalan yang diredai

Dapatkan yang halal
Upah yang setimpal
Ilmu di dada
Takwa dan amal

Dagang yang jujur
Untung berlipat ganda
Ikhtiar sentiasa
Tolak rasuah

Duit oh duit
Untuk saraanku
Inginkan yang bersih
Tabah dan cekal

Muhamad Amin bin bacho
SMK Serian
9 Februari 2014



Friday, February 7, 2014

TAHUN INILAH

TAHUN INILAH
(Sempena Jubli Emas SMK Serian)

Kita daki mercu yang payah
menawan puncak yang tabah
terbang ke angkasa yang ramah
berenang merentas segara  gagah
mengaut  butir mutiara  yang serlah

Kita terokai  segala khazanah yang  berkat
sama ada di langit, di laut atau di darat
meniup busa ombak penuh nikmat 
kita kutip manik-manik hakikat
memintal  utas rantai hikmat

Kita tarah bukit luka
menimbus gaung derita
menebang hutan belantara
menggali perigi yang buta
merentas lorong wibawa

Kita nyalakan obor gemilang
lorong kelam menjadi terang
kibarkan bendera yang menang
tinggi berkibar di menara terbilang
lagu cemerlang megah berkumandang

Kita leburkan bongkah  galian aneka rupa
membentuk kepingan logam berharga
permintaannya seantereo dunia
laris di pasaran antarabangsa


Kita lorek spektra  yang indah
mendirikan monumen bersejarah
mengadun ramuan pelbagai resipi
mencipta alunan irama kontemporari
bersama  jayakan agenda transformasi

pastikan  pelaksanaan PPPM menjadi realiti

Tahun inilah
Kita gapai kerdipan bintang
senyum bangga bulan mengambang
berjaya merangkul hadiah dan pingat
juara berganda di semua peringkat
panji kemenangan riang  berkibaran
digeruni oleh setiap saingan
setiap sudut terpampang sijil kepujian
prestasi meningkat setiap peperiksaan

Kita raikan ulang tahun sekolah
jubli emas kemilau indah
lalu duduk bertafakur
nikmat dikecapi penuh syukur

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian

7 Februari 2014

Wednesday, February 5, 2014

PERJALANAN INFINITI

PERJALANAN INFINITI

Menyelusuri perjalanan infiniti
dari sisi ke tepi
mencari denai yang sunyi
buat  menyendiri
munajat yang suci
sebelum sampai ke destinasi

Fatamorgana penuh khayal
jelingan mata yang nakal
bina semangat kental
dengan hati cekal

Berilah laluan  senang
cahayanya  terang
segala yang merintang
ditempuh dengan tenang
dengan dada lapang

Matlamatnya masih jauh di hadapan
masih banyak cabaran
hadapi dengan penuh keyakinan

Di ufuk sana penuh kegawatan
sengketa yang tidak pernah  berkesudahan
bukan sekadar ideologi yang bercanggah
melibatkan masalah tauhid dan akidah
mendakwa kitabnya sahaja yang sah
tidak mengiktiraf  kerasulan Rasulullah

Sebelum melalui liku ini
cuba elak ranjau berduri
hujungnya tajam dan seni
jangan sampai tertusuk kaki dan jari
padahnya ditanggung sendiri

Selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan
marilah bersama menadah tangan
semoga semua dipermudahkan
tanpa sebarang halangan


Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
5 Februari 2014





Tuesday, February 4, 2014

JALAN IMPIAN

JALAN IMPIAN

Kita sudah merancang jalan perdana
di pangkalnya masih merah tanahnya
di bahunya masih curam  gaungnya
batu-batu kerikil masih besar bongkahnya
palang besi masih tersadai di pelabuhan sana

Tandatangan pemaju belum dilakri
belum turun tanda cap jari
borang kontrak belum dicetak
masih kabur terma dan syarat
belum dilancar majlis pecah tanah


Buruh asing masih dikuarantin  di pos sempadan
perlu buat ujian kesihatan
ujian air kencing belum ada laporan
paspotnya masih ditapis pihak keselamatan

Kalau begitu, bila lagi kami mengecap nikmat?
sudah setahun janji dibuat
bot penumpang semakin sarat
enjin sangkut semakin karat
berilah bantuan jaket

Arus sungai semakin deras
semakin ramai yang lemas
semua sesak nafas

harapan demi harapan
mohon segera dilaksanakan
era kemajuan dan pembangunan
realisasikan impian warga budiman


Muhamad Amin bin Bacho,
SMK Serian,
4 Februari 2014


         


Monday, February 3, 2014

DENDAM

DENDAM

Pencemaran rohani
wujud sejak Nabi Adam lagi
puncanya kekurangan iman dalam diri
ditambah hasad dengki dan  iri hati

Tertusuk duri lalu membengkak
kaca hati tergolek menjadi retak
darah bergumpal di dada menjadi sebak
asap menerawang dalam jiwa menjadi sesak

Berbalah selisih  bertahun diperam
kesumat menyerap lalu menjadi kasam
ratapan sendu  menjadi kusam
bertelingkah  merana semusim dipendam

Sampai masanya
meledak juga bom jangka
api sekam marak  dinyala
siram dengan air yang mesra

Usah diturut rasa
peranan budi bicara
kaji segala punca
selesai segala sengketa
mohon perlindungan Yang Maha Esa

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
3 Disember 2014







Sunday, February 2, 2014

DINIHARI

DINIHARI

Kutulis puisi ini
berkisar  tentang dinihari
kelam dan sepi
dingin dan sunyi

Sayup-sayup kedengaran
laungan azan
menyeru umat muslimin yang beriman
segera bangun
Assolatu khairum minan naum
Solat itu lebih baik dari tidur

Berpusu-pusu ke surau dan masjid
melafaz kalimah tauhid
sesudah itu,
bertebaranlah di bumi Allah
ke lubuk mengaut butir ibadat
ke ladang menuai ketakwaan
ke muara mengutip mutiara keimanan
ke jalan meraih  kejayaan

Namun,
masih ada yang meneruskan dengkur nikmat
menarik selimut hangat
menyambung mimpi tertunggak
menyahut bisikan laknat

Kita nyalakan obor semangat
semoga mendapat berkat

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
3 Februari 2014




Saturday, February 1, 2014

PUISI INI

PUISI INI

Kucipta  puisi ini
di atas hamparan permaidani
yang sudah carik bahagian tepi
lusuh dimamah mentari

Payahnya kuadun setiap bicara
kerana sudah kurang  madah  bonda
kalau adapun yang sudah kabur  bahasa
yang sukar dimengerti  oleh mereka

Anak kita sudah bisu untuk berkata
jarinya ligat menekan aksara
yang bunyinya harus tiada
animasi pelbagai warna
akronim pelbagai rupa

Bagaimana akan kutitipkan bicara ini?
jika semua diam menyepi
bagaimana akan kudeklamasi?
jika tiada yang mengapresiasi
jika telinga jadi tuli
disumbat pelbagai nada dan bunyi

Masih ada masa
usah berputus asa
tanpa jemu berusaha
peranan penting media dan maya
dengan agenda yang mesra

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
1 Februari 2014