Saturday, April 28, 2012


KEDAI SEDERET DI BANDAR BETONG

Kulalui  sebatang lorong  cerah
Namanya  ala Putra Jaya menyusur gagah
Percint Pendidikan  namanya megah

Tangan-tangan   melambai mesra
Gedung ilmu arus perdana
Datuk Patinggi Kedit, Vokasional, Maktab Rendah Sains  Mara
Berkali-kali kutoleh terasa bangga

Sampai juga akhirnya
Bandar Betong senyum menyapa
Alu-aluan yang ramah setiap warganya
Selamat datang ucapan diberi
Terima kasih kerana sudi bertandang ke mari
Inilah teratak kami yang tak seberapa ini
Jelajahilah sepuas hati

Di sebalik rimbunan hutan batu
sederet kedai  papan tetap  berdiri walaupun lesu
Pudar wajahnya ditelan usia
Pengunjung  masih tetap setia
Masih berdenting keping-keping syiling di dalamnya
Tauke  sibuk memetik biji-biji sempoa

Langkah  pantas di gelanggang  kamajuan
galak memacu misi pemodenan
elak bertarung di arena songsang
usah mainkan nada sumbang



Karya:
Muhamad Amin bin Bacho
Bandar  Betong
28 April 2012

Tuesday, April 10, 2012



DIALOG DENGAN SEORANG PAK BECA

Suatu pagi yang nyaman

mataku melilau mencari kenaikan

di sana seorang Pak Beca

lena dibuai mimpi lara

kuberi salam pembuka kata

tersentak rupanya dia


Warna-warna pada raut mukanya

pudar ditelan usia

lesi bibirnya

bertarung menghambat sengsara

kuyu matanya

sayu merenung derita


Anak ni, hajat ke mana?

bawa saya ke benteng sana

anak ni perantau agaknya

betul Pak Cik, Bumi Kenyalang asal-usulnya

Nak ke benteng pagi begini?

pagi begini sunyi sepi

alangkah eloknya di kala senja

boleh juga menjamu selera


Lembayung senja indah paparan

merangkak beca usang dimamah zaman

wajahnya terbayang seri

rodanya ligat memutar rezeki

kutanya berapa tambangnya

ahh..beri sajalah ikut suka


Gerangan apa ke benteng sana?

ada bait-bait akan kucipta

lokasi indah menjana minda

ohhhh…anak ni serupa Pak Cik juga

pencinta seni rupanya

tapi awas ketika berbicara

jangan tersasul tutur kata

madah songsang buruk padahnya


Angguk kepala tanda sekata

pesanan ikhlas seorang Pak Beca

Ilham: Muhamad Amin

Gerai Benteng Peserai

19 Disember 2011

Saturday, April 7, 2012


WARUNG SOTO DI PEKAN SEMERAH

Di suatu sudut di Pekan Semerah

kududuk berehat melepas lelah

kupesan semangkuk soto hangat

bersama secawan kopi pekat

payung kembang menjadi naungan

Dengan kepulan yang melemaskan

Deruan membingitkan


Pelanggan mampir berduyun-duyun

Ingin menikmati ramuan turun-temurun

larisnya waktu begini

Mak Cik sibuk mengadun resipi

hirisan seni ayam goreng ala kentaki

keratan tradisi nasi impit empat segi

curahan kuah sup membangkit selera

sambal kicap lada sulah menambah aroma


di sebalik dahi getirnya

terbayang pada mimik muka

seri menghambat derita

sengsara yang hampir sirna


Kuberanikan diri untuk menyapa

“lumayan nampaknya”

seribu keluhan pada wajahnya

Mak Cik bukan mengumpul harta

sepuluh tanggungan sipi-sipi sahaja


Setelah kuhirup segala kuah

katanya “tiga setengah”

kuhulur sekeping note merah

selebihnya ikhlas kusedekah

lalu segera kakiku melangkah

(Catatan: Puisi ini tidak ada kena-mengena dengan sesiapa sahaja. Hanya Ilham penulis)

Ilham: Muhamad Amin

Pekan Semerah

18 Disember 2012

Wednesday, April 4, 2012



Assalamu’alaikum Parit Sempadan

Mengalir deras airnya
rakus ditelan laut Selat Melaka
adalah garis pemisah
dua mukim yang gagah
 Lubok dan  Bagan perkasa
adalah nadi  wawasan desa 

Laungan syahdu bergema
warga marhaen sudah sedia
tuntutan syariat  wajib  ditunai segera
subuh pantas merangkak
sawit, sabit dan gerabak
mengharung dinginnya embun pagi
galak mengetuk  pintu rezeki

Globul dan tincture sedia diadun
di atas rak-rak kemas  disusun
pengunjung sedia menunggu
mohon dilerai kusut yang rancu
itulah sohornya Tok Wandi
jiwanya  adalah homopati

Bertapak teguh  di teratak kampungan
spanar-spanar  ligat menganyam kemahiran
meramas tompok-tompok  hitam yang pekat
mengusap percikan-percikan gris  yang likat
 kempis tayar bunganya  rekah
deruan sumbang enjin yang lelah
senyuman Pak Wahid bertambah serlah

Assalamu’alaikum  Parit Sempadan
sejambak mawar kuhulurkan 
di sinilah bertautnya
kasih berpupuk cinta
sayap Kenyalang  mengepak damai
Darul Takzim mesra  melambai

Kemudian daripada itu
dua jiwa menjadi satu
ibarat  Romeo  dan Julie
sedalam cinta Fansuri
disiram dibaja bertambah semi

 Parit Sempadan tersemat disanubari
Insyaallah kita akan bertemu lagi

Ilham:
Muhamad Amin,
Bangku Cakruk,  Kampung Parit Sempadan
Batu Pahat,  Johor DT

10 Disember 2011