Monday, December 24, 2012


APA KHABAR SARAWAK

Apa khabar di sana?
aku hanya mengembara seketika
rupanya, sungguh gah namamu
seluruh  negara mengenalimu
aneka cerita yang kuberitahu
agar minda  mereka lebih terbuka
demi mengelak sebarang prasangka

Kisah tentang SCORE yang semakin perkasa
penjana ekonomi negara
perlu jentera berat berkuasa tinggi
tenaga mahir berteraskan teknologi ICT
semua angguk kepala
serupa Wilayah Iskandar, kata mereka

Bercerita hal   Kampung Budaya
warisan etnik perlu dipelihara
amalan hidup warga tempatan
semua dipapar dalam satu bumbung
ramai menyimpan cita untuk berkunjung

Kugambarkan pula ehwal terkini
interaksi rakyat penuh harmoni
hidup penuh toleransi
hasil mahsul dikongsi bersama
menyahut slogan 1 Malaysia

Seorang warga emas spontan  bertanya
“Anak ni bila datang ke Malaysia?
teramat jauh jaraknya
perlu naik kapal udara”
bayu yang dingin lalu hangat menyala
nafasku sesak  menjadi  lelah
nada resah yang marah

Amat terkilan rasa di hati
masih ada yang kurang mengerti
tanggapan mereka, bumi Sarawak  masih menyendiri
warga Sarawak yang  dikasihi
demi merangsang integrasi
amat berat bebanan ini
terpikul di bahu semua
khabarkanlah kepada mereka
cerita yang benar dan nyata
jika tidak, wawasan 2020 tiada maknanya

Ilham:
Muhamad Amin bin Bacho
24 Disember 2012
  

No comments: