Wednesday, July 31, 2013

NIKMATNYA LEBARAN

NIKMATNYA LEBARAN

Menanti saat  ketibaannya
keheningan pagi yang ceria
selepas menunai kewajipan fitrah
lalu bertakbir memuji kebesaran Allah
solat sunat dua rakaat  penuh berkat
setelah berjaya meniti jambatan matlamat
lapar dan dahaga yang nikmat
mengunci pintu  maksiat

Umpama pahlawan dari medan peperangan
menjulang senjata iman
gembira menyambut hari kemenangan
berduyun-duyun  menuju rumah ketakwaan
menyarung busana aneka warna
wangian kasturi penuh aura dan aroma

Bertandang ziarah handai dan taulan
rangkuman  erat tanda keakraban
tangan dihulur memohon kemaafan
ramah mengucap selamat hari lebaran
tanda syukur atas kejayaan

Di atas meja terhidang aneka juadah
menunggu masa untuk dijamah
ketupat dan lemang
lazatnya sate dan rendang
wajik, dodol dan bahulu jadi pilihan
resipi tradisi zaman-berzaman

Dalam saat-saat gembira
fakir miskin tetap agenda utama
wang zakat dan sedekah jariah
rezeki yang melimpah
agar mereka sama merasa
kemeriahan hari yang mulia

Mereka yang menempah tragedi
putus jari tangan dan kaki
cuba muhasabah diri
meterai ikrar akujanji
usah ulangi  drama luka
menjadi trauma sepanjang masa

Sempena Aidil Fitri
mohon doa pada Ilahi
semoga panjang umur murah rezeki
tahun hadapan bersua lagi


Muhamad Amin bin Bacho                                                         
SMK Serian
31 Julai 2013


No comments: