Monday, July 8, 2013

GERBANG RAMADAN

GERBANG RAMADAN

Kuberdiri megah di bawah gerbangmu
bersama tombak penangkis nafsu
sedia berjuang di bawah panji-panji syahdu
berperang melawan segala nikmat celaru

Seharian menahan lapar dahaga dan  lelah
malamnya penuh pengisian sunnah
berterawih,  witir bertadarus dan bertilawah
berqiamulail  sujud sajadah
bersahur penuh barakah
niat suci dilafaz kerana Allah

Menjelang siang yang ramah
tetap menggalas tanggugjawab  secara berhemah
usahlah beri alasan  penuh berhelah
langsaikan  tugas yang telah diamanah
hilanglah rasa gundah dan resah

Bulan yang penuh kerahmatan ini
dompet kempis perlu diisi
peluang keemasan sedia menanti
bazaar Ramadan di sana sini
betapa  luasnya  pintu rezeki

Bubur pedas bubur lambuk roti perata
melonjak selera luar biasa
berpada-pada semasa berbelanja
kantung hanyir ternganga
rakus menelan segala sisa

Jadah apakah yang melanda?
hanya buat muka selamba
gelojoh meratah noda di pentas terbuka
kena cekup  dan didakwa
barulah padan muka
dan, tunggulah balasan-Nya

Malam yang dinanti seluruh warga beriman
ganjarannya lebih baik daripada  seribu bulan
namun, kehadirannya amat  dirahsiakan
semoga mendapat  petunjuk-Mu Ya Rahman
berikanlah  kesempurnaan atas  segala amalan
dengan ini, lebaran dirai  dengan suasana kemenangan


SMK Serian
8 Julai 2013


No comments: