Saturday, July 20, 2013

PERCIKAN DARAH PERWIRA NEGARA

PERCIKAN DARAH  PERWIRA NEGARA                 

Hamparan yang luas ini
dari Sebatek ke Langkawi
adalah pusaka moyang kita
cucu piut diamanah mengatur rencana
menggalas tugas tanpa prasangka
kerana mereka telah memerah tenaga
maka lahirlah sebuah  negara bangsa
tanpa darah merah mengulit  mimpi ngeri
hanya rundingan berdiplomasi

Petualang-petualang durjana
gigih memalit nanah dan noda
resah dan gundah anak-anak watan
bukan calang-calang pengorbanan
demi maruah dan kedaulatan
benteng kukuh kubu perkasa
perisainya besi waja
berteras peluru dan senjata

Sesekali bumi leluhur merekah lelah
darahnya tumpah
gugur dan rebah
bukan korban  kecundang
hanya korban yang malang
percikan darah perwira negara
akan mengharum di teratak bangsa
luahan bunga simpati
layu di persada pertiwi
renjisan mewangi  kasturi
pusaramu akan dihiasi
catatan indah  puisi
terpahat teguh kalimah suci

Kepada bakal  pahlawan nusa
jauhi segala bimbang dan curiga
yang bersarang di jiwa
begitu besar khidmat dicurah
bukan mengejar segala anugerah
kerana ia hanya nilai tambah
yang melunas penat dan lelah
yang penting  ikhlas dan setia      
kepada negara tercinta
mohon restu Yang Maha Esa

Kem Penrissen Kuching
19 Julai 2013


No comments: