Saturday, July 20, 2013

ISTIMEWANYA MALAM 27

ISTIMEWANYA MALAM 27

Suasana malam
gelap dan kelam
panjut buluh di reka
pemberi cahaya
menghambat bahaya
kisah zaman silam penuh nostalgia
amalan tradisi setiap kampung dan desa
sememangnya sudah  tersurat
dicatat dalam riwayat
sesiapa yang membawa cahaya
akan diterangi kuburnya

Kanak-kanak bersorak gembira
percikan bunga api pelbagai warna
dentuman bedil menggamit suasana
surau dan masjid meriah ceria
suara qari mendayu-dayu
lafaz ayat-ayat suci sungguh merdu
dalam irama penuh menusuk kalbu

Istimewanya  malam yang  tiada tandingan
detik keemasan  setiap  individu  beriman
mereka  bertasbih  merebut syurga
yang dijanjikan oleh-Nya
Malaikat Jibrail menebarkan  sayap hikmahnya
turun ke bumi mengaminkan doa
setiap muslim yang khusyuk   bertakwa

Saat bila datangnya
tiada siapa dapat menduga
bermunajat berterusan  sepenuh jiwa
semoga mendapat  hidayah daripada-Nya

Masjid Jamek  Petra Jaya,  Kuching

20 Julai 2013




No comments: