Tuesday, December 17, 2013

PERISTIWA TARAH-MENARAH

PERISTIWA TARAH-MENARAH

              I
Ditarah oleh Tukang Jawa
sekeping tatal tujuh depa
seperti kertas nipisnya
digulung seperti subang rupanya
dipersembah kepada  Raja Singapura
Paduka Seri Pikrama Wira
timbul salah sangka
diumpamakan rakyatnya
tanpa seorang lelaki
hanya wanita belaka

Maka baginda bemberi balasan
disuruhnya Cedun Pawang Antan
tukang Raja Bintan
menarah kepala budak hingusan
sebilah beliung kalang
budak tidur lena
habis licin kepalanya
tiada calar dan  luka

Beliung kalang dipersembahkan
Betara  menerima bingkisan
beliung dicampakkan
murka baginda kepada utusan
berakhir dengan peperangan

                  II
Tarah-menarah berterusan
kayu ditarah  menjadi licin
bukit ditarah menjadi botak
sirna floranya
hijrah faunanya
merah mukanya
runtuh tanahnya

                  III
Tarah-menarah turun-temurun
bukan mengundang sengketa
biar bersederhana
biar berpada-pada
elak agenda bencana
menjana pembangunan negara

SMK Serian
4 Disember 2013




No comments: