Saturday, August 3, 2013

DIA SEORANG GURU SENJA

DIA SEORANG GURU SENJA

Dia datang dari desa terpencil
badan yang  kurus dan kecil
dilatih dari institusi  ternama
tanpa   ijazah berjela-jela
namun pengalaman dan ilmunya
memenuhi setiap ruang di dada
bakti keringat dicurah penuh setia

Mencurah bakti di hujung peta
deruan enjin sangkut kuasa kuda
Mengharungi lurah  dan paya
sesekali turun menyorong resah
bot tersangkut kerikil yang payah
menyingsing  kaki seluar yang lelah
keringat mengalir pada tubuh yang pasrah

Seorang guru warga senja
lahirnya sedetik sebelum merdeka
di luar sana menghitung saat  bersara
jari-jemarinya  merencana aneka agenda
di  sini kalamnya masih pedas berkata-kata
penanya masih penuh tinta,  masih ligat menari
seolah-olah khidmat baktinya masih banyak berbaki

Keseronokannya  terserlah ketika berkhidmat
bukan sekadar memburu gelaran dan pangkat
tugas dan tanggungjawab digalas penuh semangat
berbekalkan keyakinan diri, cekal dan tabah
dengan ikhlas tanpa  mengenal penat dan lelah
menjaga maruah bangsa dan agama
menjana pembangunan Negara

Buahnya dituai harum penuh kenikmatan
hasilnya terserlah merentas darat dan lautan
berlipat ganda sanjungan dan pujian
hanya ucapan terima kasih mampu diberi
atas curahan jasa dan bakti
selebihnya terserah  kepada kurniaan Ilahi

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
3 Ogos 2013











No comments: