Sunday, January 19, 2014

DIRGAHAYU SEKOLAHKU

DIRGAHAYU SEKOLAHKU
(Sempena Sambutan Jubli Emas SMK Serian 2014)

Menyingkap tirai renta
dalam kamar khazanah nostalgia
tersimpan catatan segala pendeta
angka lima puluh bersalut emas permata
masih petah membilang angka
terus ligat menyusun aksara
jari-jemari giat mengetuk kekunci maya
demi memajukan anak bangsa

Laluannya dulu penuh semak
menumpang di teratak sebak
kini gah menyusun garis-garis berentak
meskipun di premis yang masih sesak
kilauan obor hangat semakin marak
menjulang semangat menuju puncak

Para peneraju bersemangat waja
gigih mengadun rencana
hilaian gelak ketawa sendaloka
mendendangkan lagu ria
bertandak joget gembira
berlakon pantomin sketsa
mengusir duka nestapa
hidangan halwa telinga

Menghambat segala salahlaku
mencerah awan kelabu
menyelesai segala yang keliru
menceria suasana haru
menggapai hamparan langit biru

Pemegang amanah perdana
membantu melaksana transformasi negara
tabah menghadapi tugas KPI, APDM, SAPS, PBS dan NKRA
era globalisasi menuntut warga pendidik selalu siaga
tanpa jemu menggalas segala agenda yang direncana

Sanggup mengayuh rakit ke muara
arus yang deras diredah bersama
dengan semangat yang membara
mengalir keringat tabah berusaha
demi mengaut sekantung mutiara
menjadi utas tasbih untuk bertakwa

Mencecah setengah abad usianya
buah yang ranum nikmat terasa
sarjana, cendekia dan para bijaksana
ahli korporat, politikus dan jurutera
para menteri, peguamcara dan peguambela
bertebaran mengisi ruang di seluruh mandala

Selamat menyambut hari bahagia
dirgahayu sekolah tercinta
semoga tetap menabur jasa
pada nusa dan bangsa
berkat kurnia Yang Maha Esa

Muhamad Amin bin Bacho
19 Januari 2014

No comments: