Sunday, June 9, 2013

SEBUAH CORETAN

Ini lubuk rezekiku
apabila ranum kutuai ke dalam saku
dari keringat payahku
dari serak suaraku
berbekalkan lembaran-lembaran ilmu
melakar khazanah  di papan putih
menggaris  biasan pelangi
di helaian kertas mahjong
dengan  bantuan pancaran maya

Diselangi leteran-leteran luka tapi manja
disulami madah kecindan yang mesra
anak-anak  didikku  gigih mencoret  gedung aksara
dan,  mereka  giat merakam  hamparan data
apa yang kuluahkan dihimpun ke dalam nota
disimpul, dirumus dan dilakri dalam peta minda
nanti ke medan perang dibekal sebagai senjata

Berkat titik peluhku ini
kantungku tetap berisi
kumampu menyudu  semangkuk mi soto
kumampu menghirup  secawan teh -O
kumampu menghimpun kembara pelbagai destinasi
anak-anakku mampu belajar jauh di luar negeri

Kuucap syukur ke hadhirat Ilahi
berkat limpah rezeki ini
walaupun tidak semewah mana
mampu meneruskan hidup di alam fana
hidupku tidak merempat
InsyaAllah kutunaikan zakat
yang malang juga merasa nikmat.

Kpg Parit Sempadan
30 Mei 2013



No comments: