Wednesday, April 4, 2012



Assalamu’alaikum Parit Sempadan

Mengalir deras airnya
rakus ditelan laut Selat Melaka
adalah garis pemisah
dua mukim yang gagah
 Lubok dan  Bagan perkasa
adalah nadi  wawasan desa 

Laungan syahdu bergema
warga marhaen sudah sedia
tuntutan syariat  wajib  ditunai segera
subuh pantas merangkak
sawit, sabit dan gerabak
mengharung dinginnya embun pagi
galak mengetuk  pintu rezeki

Globul dan tincture sedia diadun
di atas rak-rak kemas  disusun
pengunjung sedia menunggu
mohon dilerai kusut yang rancu
itulah sohornya Tok Wandi
jiwanya  adalah homopati

Bertapak teguh  di teratak kampungan
spanar-spanar  ligat menganyam kemahiran
meramas tompok-tompok  hitam yang pekat
mengusap percikan-percikan gris  yang likat
 kempis tayar bunganya  rekah
deruan sumbang enjin yang lelah
senyuman Pak Wahid bertambah serlah

Assalamu’alaikum  Parit Sempadan
sejambak mawar kuhulurkan 
di sinilah bertautnya
kasih berpupuk cinta
sayap Kenyalang  mengepak damai
Darul Takzim mesra  melambai

Kemudian daripada itu
dua jiwa menjadi satu
ibarat  Romeo  dan Julie
sedalam cinta Fansuri
disiram dibaja bertambah semi

 Parit Sempadan tersemat disanubari
Insyaallah kita akan bertemu lagi

Ilham:
Muhamad Amin,
Bangku Cakruk,  Kampung Parit Sempadan
Batu Pahat,  Johor DT

10 Disember 2011

No comments: