Sunday, October 31, 2010

PERANTAU DI BUMI ARABELLA


PERANTAU DI BUMI ARABELLA
(BUAT NUR AMALINA DI jORDAN)

Setelah sekian lama
kau semai benih-benih cita
lantas bercambah tunas-tunas cinta
di pintu sanubarimu sudah kukuh bertakhta
sudah terpahat megah pada tugu bersendi permata
sehingga lunas sebuah program penjana minda
secara diam-diam kau siram dan baja
segugus impian waja
berbekalkan secebis nota
dengan segulung diploma
kau nekad mahu ke sana

Seribu liku payah kau harungi
onak dan duri tabah kau tempuhi
jagat raya megah kau rentasi
samudera luas mudah kau renangi
gagah berani persis pejuang serikandi
semangat kental jiwa Mahsuri

Bertarunglah wahai puteriku
pena mutiara itulah senjatamu
medanmu dilatari hamparan permaidani ungu
berdiri megah di persada IPT
menara Yarmouk bisa kau takluki
keringat lelah bersulam dedikasi

Dengan iringan sejambak doa
bersama rindu dendam adik-adik manja
usahlah kau persiakan harapan mereka
setelah kau genggam segala nilam permata di bumi Arabella
kembalilah dikau semula
menyahut lambaian bumi satria
menabur bakti semampunya
kemurnian restu ayah dan bonda
memohon limpah keredhaan Yang Maha Esa

Ilham:
Muhamad Amin Bin Bacho
KLIA Sepang,
17 September 2010

No comments: