Monday, October 18, 2010

MENU SATU MALAYSIA

Menu Satu Malaysia

Di atas sebuah meja
beralas kain aneka warna
terhidang menu pelbagai rasa
buat santapan satu Malaysia

Di sana ketupat dianyam mesra
kemas dipotong segar aromanya
dikelilingi bilah-bilah lidi dengan daging dan kuah yang ramah
buat merangsang selera hadirin meratah

Dari Bumi Kenyalang menunya buluh
di dalamnya ayam kampung dipansuh
digaul sebati daun ubi
beras biris nasi wangi
linut Melanau dari tepung sagu
dicecah sambal belacan Bintulu

Ayam bakar dipercik putih santan
laksam berkuah ikan
bersama sayur kacang, tauge dan belacan
yang enaknya nasi kerabu
pelbagai ramuan berkuah budu
itu sajian Cik Siti Wan Kembang
memikat selera sesiapa yang bertandang

Ini menu Selatan
menampilkan pelbagai hidangan
nasi impit soto dan lontong
memikat hati para pelancong
masakan laksa daripada spaghetti
bunga kantan, kuah ikan berperasa kari
tempe daripada kacang soya
dibuat sambal godok enak perisa
tetamu bertandang pasti ceria

Lepat loi berasak dibungkus daun pisang
dimakan bersama masakan rendang
enak dicecah bersama serondeng
bertambah lazat bersama sambal goreng
hidangan istimewa hari raya
itulah Wak Bugis empunya selera

Tom Yam, Nasi paprik, dan Nasi Goreng Pattaya
negara jiran asal-usulnya
masakan utara kegemaran semua
nasi kandar dan laksa berkuah ikan
sajian Pulau Mutiara zaman berzaman

Ikan kering gulai batang keladi
masak lemak cili api
penganan orang Negeri

Ayam, kambing, ikan masak kari
dalam tempayan panas masak ayam tandhori
popedom tose dan nasi beriyani
roti canai berkuah dalca
masakan India pelbagai rasa

Yee sang, ba ku teh dan kacang ma
masakan utama Tahun Baru Cina
makan besar seisi keluarga
pasti semua berasa bahagia

Dek keterbatasan ruang
ada menu yang tak terhidang
pada masa lain yang terluang
akan diusahakan juga
agar semua menikmatinya

Itulah menu satu Malaysia
elok dinikmati setiap warga
sehari bertandang takkan habis dirasa
esok lusa bertandanglah semula
sebagai simbol perpaduan negara
toleransi ke arah integrasi
demi mengelak sebarang tragedi
Insyaallah sentiasa dalam lindungan Ilahi

Nukilan:
Muhddamine
SMK Serian
18.10.10





No comments: